Lebih 100 mahasiswa baharu UTS sertai SKUAD Antidadah

Facebook
WhatsApp
SKUAD ANTI DADAH.....Lebih 100 mahasiswa UTS mendaftar sebagai sukarelawan antidadah sempena Minggu Orientasi Kemasukan Pelajar School of Foundation Studies di UTS, pada Khamis. Foto AADK Sibu

SIBU, 21 November: Lebih 100 mahasiswa baharu Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mendaftar sebagai Sukarelawan Antidadah (SKUAD Antidadah) dalam usaha menyokong aktiviti pencegahan penyalahgunaan dadah.

Pendaftaran itu dilakukan semasa Ceramah Antidadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu sempena Minggu Orientasi Kemasukan Pelajar School of Foundation Studies di UTS, pada Khamis.

Program anjuran Unit Psikologi dan Kaunseling UTS itu bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, selain memperkukuh jati diri agar bebas daripada gejala negatif.

Menurut AADK Sibu, penyertaan mahasiswa sebagai sukarelawan mencerminkan sokongan golongan muda terhadap usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.

SKUAD Antidadah yang ditubuhkan pada 4 Julai 2011 merupakan entiti kesukarelawanan di bawah AADK bagi membantu kerajaan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pencegahan dadah.

Selain mempromosikan gaya hidup sihat, SKUAD turut berperanan mendidik masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan komuniti dan keselamatan negara.

Oleh Akun Giman