SERIAN, 21 November: Bahagian Serian mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM1.291 bilion bagi melaksanakan enam projek pembangunan melibatkan pembinaan jalan raya dan penambahbaikan bekalan air untuk pertimbangan Kerajaan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, permohonan itu merangkumi dua projek jalan raya dengan anggaran kos RM286 juta serta empat projek bekalan air bernilai RM1.005 bilion.
“Antara projek jalan raya yang dicadangkan ialah pembinaan Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 3 sepanjang sembilan kilometer dengan anggaran kos RM160 juta.
“Projek itu bertujuan melengkapkan jajaran jalan dari Temong-Tepoi-Sadir hingga Annah Rais yang menghubungkan Daerah Tebedu, Bahagian Serian dengan Daerah Kecil Padawan, Kuching.
“Selain itu, Jalan Padawan Fasa 2 sepanjang 15 kilometer turut dicadangkan dengan anggaran kos RM126 juta bagi melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Padawan mengikut piawaian R3 Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, hari ini.
Mengulas projek bekalan air, Roland berkata empat cadangan dikemukakan dengan anggaran kos keseluruhan RM1.005 bilion.
“Ia merangkumi pembangunan sumber air mentah bagi bekalan air Serian bernilai RM200 juta serta kerja penambahbaikan dan naik taraf bekalan air Serian dengan kos RM700 juta.
“Dua lagi projek ialah kerja penambahbaikan dan naik taraf bekalan air Tebedu bernilai RM70 juta serta bekalan air Bunan berjumlah RM35 juta,” jelasnya.
Menurutnya, keempat-empat projek bekalan air itu telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Pelaksanaan projek berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan bekalan air jangka panjang di Bahagian Serian, selain meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan loji rawatan air.
“Impak projek ini amat besar terutama dalam meningkatkan kelangsungan bekalan air jangka panjang di Bahagian Serian, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan loji rawatan air serta memastikan bekalan air terawat yang mencukupi, stabil dan berterusan kepada pengguna,” ujarnya.
Permohonan projek berkenaan merupakan antara aspirasi pembangunan yang disampaikan bagi pihak penduduk Bahagian Serian kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk perhatian dan pertimbangan dalam perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan.
Oleh Masrin Affirah



