KUCHING, 21 November: Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan bakal berkongsi pentas dengan barisan artis terkenal Malaysia menerusi persembahan Soul City-An R&B Night yang dijadual berlangsung di Esplanad Tebingan Kuching pada 4 Disember ini.
Selain Cakra Khan, persembahan itu turut menampilkan kumpulan Ruffedge, Innuendo dan The Fabulous Cats serta penyanyi Lah Ahmad.
Lebih istimewa, acara berkenaan turut menampilkan penampilan khas Dato Acis sebagai pengarah muzik yang akan menerajui keseluruhan susunan muzik bagi memastikan persembahan berlangsung dengan lancar dan memberikan pengalaman hiburan berkualiti kepada penonton.
Gabungan artis dari Indonesia dan Malaysia itu bakal menyatukan keunikan muzik R&B daripada dua negara dalam satu persembahan yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada peminat.

Cakra Khan yang terkenal dengan vokal mantap dan lagu-lagu balada beremosi dijangka menjadi antara tarikan utama, manakala Ruffedge dan Innuendo pula merupakan antara kumpulan yang cukup dikenali dalam industri muzik tempatan menerusi karya berteraskan R&B.
Lah Ahmad turut dikenali dengan identiti muzik tersendiri, sementara The Fabulous Cats bakal menambah warna kepada persembahan menerusi keunikan muzik dan pengalaman mereka dalam industri hiburan.
Kehadiran barisan artis berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peminat menikmati lagu-lagu popular secara langsung, malah menghidupkan kembali nostalgia muzik R&B yang pernah mendapat tempat istimewa dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Soul City-An R&B Night dijangka menjadi antara acara hiburan yang dinanti-nantikan, khususnya bagi peminat muzik R&B yang mahu menyaksikan persembahan gabungan artis Indonesia dan Malaysia di satu pentas.
Soul City-An R&B Night dianjurkan oleh Gelowa Jiwa Sdn. Bhd. Tiket bagi menyaksikan Soul City-An R&B Night boleh didapati menerusi laman web Saratic.com dengan harga Fasa Akhir (Final Phase) bagi kategori General Admission pada RM118 dan VIP Standing pada RM168.
Peminat muzik yang ingin menyaksikan gabungan artis Indonesia dan Malaysia itu boleh mendapatkan tiket menerusi platform berkenaan.





