Taylor Swift: Lagu ‘Toy Story’ beri ruang berehat daripada menulis balada peribadi

Facebook
WhatsApp
TAYLOR Swift menyampaikan anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Willie Nelson kepada Brooks & Dunn di pentas pada Anugerah Persatuan Muzik Country Kali Ke-60 yang berlangsung di Music City Center pada 18 November 2026 di Nashville, Tennessee. Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat, 21 November: Taylor Swift, calon Anugerah Oscar? Peluang menghasilkan lagu untuk filem “Toy Story 5” memberi peluang kepada bintang pop itu untuk berkarya daripada “perspektif baharu” selain memberi penghormatan kepada francais filem animasi yang diminatinya sejak kecil.

Lagu berjudul “I Knew It, I Knew You” itu juga berpotensi membuka peluang kepada Swift untuk menerima pencalonan Anugerah Akademi.

“Saya sangat menikmati peluang menulis daripada perspektif baharu. Berehat seketika daripada menulis tentang kehidupan peribadi saya sememangnya satu kelegaan,” kata Swift dalam satu acara media baru-baru ini.

Penyanyi berusia 36 tahun itu melancarkan lagu “I Knew It, I Knew You” pada Jun lalu, tidak lama sebelum tayangan perdana “Toy Story 5”.

Balada berunsur country pop yang menyentuh tema persahabatan, nostalgia dan pertemuan semula itu melayakkan Swift menerima dua pencalonan Anugerah Grammy, termasuk kategori berprestij Lagu Terbaik Tahun Ini, yang masih belum pernah dimenanginya.

Lagu itu juga dianggap sebagai antara calon berpotensi bagi kategori Lagu Asli Terbaik pada Anugerah Oscar.

Bagaimanapun, lagu berkenaan tewas dalam kategori Single Terbaik pada Anugerah Muzik Country minggu ini kepada lagu popular Ella Langley, “Choosin’ Texas”.

Swift menulis lagu itu bersama rakan kolaborasi tetapnya, Jack Antonoff.

Lagu berkenaan mendapat inspirasi daripada watak Jessie, koboi wanita dalam filem animasi itu yang bergelut untuk mengekalkan relevansinya apabila sebuah tablet diperkenalkan dalam filem kelima francais berkenaan.

Mengulas kebimbangan Jessie dan mainan lain bahawa teknologi boleh menyebabkan mereka tidak lagi diperlukan, Swift berkata beliau kekal optimis meskipun industri kreatif, termasuk muzik dan filem, mengalami perubahan.

Penyanyi dan penulis lagu itu berkata kreativiti manusia masih mampu menghubungkan karya dengan penonton melalui cara yang tidak dapat ditiru oleh teknologi.

“Jika saya melihat kembali perkembangan muzik tahun ini, terdapat dua album hebat yang saya sukai dan sering dengar semula,” kata Swift sebelum menyebut album “The Art of Loving” oleh Olivia Dean dan “Lux” oleh Rosalia.

Kedua-dua album itu menerima pencalonan Album Terbaik Tahun Ini pada Anugerah Grammy dan bakal bersaing dalam majlis anugerah Februari depan dengan album Swift, “The Life of a Showgirl”.

“Album-album itu hebat kerana dihasilkan oleh manusia, berkisarkan pengalaman manusia dan itulah sebabnya manusia dapat menghayatinya,” kata Swift.

“Manusia masih mengungguli bidang ini.” – AFP