Jambatan Sejingkat cipta sejarah, diiktiraf Buku Rekod Malaysia

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Sejingkat melakar sejarah apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerima pengiktirafan Buku Rekod Malaysia bagi kategori tiang konkrit berbentuk berlian dalam satah tertinggi.

KUCHING, 20 November: Jambatan Sejingkat mencipta satu lagi sejarah dalam pembangunan infrastruktur Sarawak apabila reka bentuk tiang konkrit utamanya diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai yang tertinggi bagi kategori tiang konkrit berbentuk berlian dalam satah.

Pengiktirafan itu disampaikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada 20 November 2026, bersempena majlis perasmian Jambatan Sejingkat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Pengiktirafan menerusi kategori ‘Tallest In-Plane Diamond-Shaped Concrete Pylon’ itu mengiktiraf pencapaian kejuruteraan dalam pembinaan struktur utama jambatan berkenaan, sekali gus meletakkan satu lagi kejayaan Sarawak dalam bidang pembangunan infrastruktur.

Majlis perasmian turut berlangsung meriah dengan persembahan dron yang memukau, selain pertunjukan bunga api berwarna-warni yang menerangi ruang udara sekitar jambatan, sekali gus menjadi antara tarikan utama acara berkenaan.

Pertunjukan tersebut menambah kemeriahan sambutan, dengan keindahan cahaya dan formasi dron menjadi latar kepada detik bersejarah perasmian jambatan yang menjadi mercu tanda baharu jaringan perhubungan di kawasan Kuching dan Samarahan.

Jambatan sepanjang 1.28 kilometer itu menghubungkan Sejingkat di Kuching dengan Tanjung Bako di kawasan Samarahan, sekali gus menyediakan laluan alternatif yang lebih langsung kepada pengguna jalan raya antara kedua-dua kawasan.

Dibina dengan kos kira-kira RM365.74 juta, jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan jalan raya, khususnya melalui pembangunan Jalan Pesisir dan rangkaian jalan penghubung di wilayah ini.

PERTUNJUKAN dron yang membentuk paparan cahaya menarik di ruang udara, disusuli percikan bunga api berwarna-warni, memeriahkan majlis perasmian Jambatan Sejingkat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, malam ini.

Keistimewaan jambatan itu terletak pada reka bentuk jambatan kabel penahan yang menggunakan tiang konkrit utama berbentuk berlian sebagai struktur sokongan kabel. Reka bentuk berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai estetika tersendiri, malah mencerminkan keupayaan kejuruteraan dalam pembinaan infrastruktur berskala besar.

Dari sudut manfaat kepada rakyat, kemudahan itu menyediakan hubungan jalan raya yang lebih baik antara kawasan Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya, selain memudahkan pergerakan penduduk serta aktiviti pengangkutan dan perdagangan.

Jambatan berkenaan juga berpotensi meningkatkan akses ke kawasan perindustrian Sejingkat dan Tanjung Bako, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan kawasan pesisir.

Selain mengurangkan kebergantungan kepada laluan sedia ada, kemudahan itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan perjalanan dan memperkukuh hubungan antara kawasan pembangunan di sekitar Kuching dan Samarahan.

Dengan perasmian rasmi serta pengiktirafan Buku Rekod Malaysia, Jambatan Sejingkat bukan sekadar menjadi penghubung fizikal antara dua kawasan, malah melambangkan pencapaian kejuruteraan dan komitmen Sarawak dalam membangunkan infrastruktur yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Oleh Afiq Sallehi