PRN tidak mengubah tanggungjawab pentadbiran kerajaan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran SKS Serian, hari ini. Foto Ukas

SERIAN, 20 November: Jentera pentadbiran kerajaan Sarawak akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan keutamaan memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas oleh perkembangan politik semasa.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pelaksanaan program turun padang, pertemuan bersama masyarakat dan penyampaian perkhidmatan oleh agensi kerajaan merupakan sebahagian daripada rutin pentadbiran yang telah lama dilaksanakan.

Menurutnya, aktiviti berkenaan bukan inisiatif baharu yang hanya digerakkan apabila pilihan raya semakin hampir, sebaliknya diteruskan secara konsisten sebelum tempoh kempen dan penamaan calon.

DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki melawat reruai agensi kerajaan yang mengambil bahagian pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Serian. Foto Ukas

“Apa yang kita lakukan, jentera kerajaan beroperasi seperti biasa di mana kita turun padang, kita memberi perkhidmatan kita kepada rakyat dan kita tidak boleh mengaitkannya sebagai satu kempen ataupun satu persepsi yang berbeza.

“Kita sudah lakukan perkhidmatan kita, turun padang, jumpa dengan rakyat dan adakan program-program dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Sarawakku Sayang (SKS) Serian di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berhubung kemungkinan penggunaan agensi kerajaan bagi kepentingan parti tertentu menjelang PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menegaskan bahawa segala aktiviti mendekati masyarakat perlu difahami sebagai pelaksanaan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian, bukannya bertujuan mempengaruhi sokongan politik.

Katanya, perubahan suasana politik menjelang pilihan raya tidak akan menjejaskan kelangsungan operasi pentadbiran kerajaan yang sememangnya berjalan sepanjang masa.

“Tidak ada, kerana itu adalah rutin kita dan beroperasi seperti biasa seperti mana yang kita lakukan sebelum penamaan calon dan sebelum pilihan raya,” katanya.

Oleh Adele Rissa