SARIBAS, 20 November: Pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek pembinaan baharu dan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda bernilai RM28.5 juta.
Projek berkenaan dijangka membawa perubahan besar kepada warga sekolah apabila menyediakan kemudahan pembelajaran lebih lengkap, selesa dan kondusif untuk manfaat murid serta tenaga pengajar.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan sebagai simbolik bermulanya pelaksanaan pembangunan tersebut.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu merupakan langkah penting dalam usaha meningkatkan kemudahan pendidikan, selain memastikan murid dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih baik.
Dr Mohammad Razi yang juga Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas berkata, penyediaan infrastruktur sekolah yang lengkap bukan sahaja memberi keselesaan kepada murid dan guru, malah turut menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu dengan kos kontrak RM28,499,801.50 dan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, bermula 28 September 2026 hingga 27 September 2028.
Ia merangkumi kerja pengubahsuaian, naik taraf serta pembinaan baharu bangunan sekolah bagi menyediakan kemudahan lebih menyeluruh kepada warga sekolah.
Antara komponen utama ialah kerja naik taraf bangunan prasekolah dan pejabat pentadbiran sedia ada, selain pembinaan blok pentadbiran, blok akademik serta kantin.
Projek itu turut merangkumi pembinaan tujuh unit kuarters guru, tandas serta kemudahan mengikut piawaian dan keperluan mesra orang kurang upaya (OKU).
Berdasarkan laporan kemajuan projek, kerja pembersihan tapak, penandaan kawasan pembinaan dan kerja tanah telah dimulakan dengan kemajuan fizikal direkodkan sebanyak 0.51 peratus setakat 25 Oktober lalu.
Pembangunan itu dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti pendidikan setempat, sekali gus memperkukuh kemudahan asas pendidikan di kawasan Saribas.
Oleh Adi Safarman




