JAKKSA, PKPSA santuni dua keluarga, sumbang katil pesakit dan barangan keperluan

Facebook
WhatsApp
GERALD Empaling bersama pihak PKPSA tampil menyampaikan katil serta barang keperluan harian kepada warga emas di Jalan Batang Lupar. Foto JAKKSA

SIMANGGANG, 20 November: Dua keluarga kurang berkemampuan di daerah ini menerima sinar harapan apabila Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pengguna Sri Aman (PKPSA) menyampaikan sumbangan berbentuk katil pesakit serta pelbagai barangan keperluan dalam satu misi kebajikan setempat, semalam.

Menerusi program tersebut, setiap keluarga menerima sebuah katil pesakit selain bantuan lain seperti lampin pakai buang dewasa, stoma bag dan bakul makanan bagi meringankan beban penjagaan ahli keluarga yang uzur dan terlantar.

Penerima pertama ialah warga emas berusia 88 tahun, Tan Chen Pang yang menetap di Jalan Batang Lupar. Anak beliau, Tan Jaat Noi, meluahkan rasa syukur dan terharu atas sumbangan yang diterima.

“Saya sangat berterima kasih kepada anda semua kerana bantuan ini sangat bermakna buat saya dan kami sekeluarga,” katanya.

GERALD Empaling bersama pihak PKPSA menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada di Rumah Musa, Kampung Sutong. Foto JAKKSA

Sementara itu, penerima kedua merupakan seorang pesakit orang kurang upaya (OKU) terlantar berusia 48 tahun yang tinggal di Rumah Musa, Kampung Sutong dan tidak mampu bergerak sendiri.

Turut hadir menyantuni keluarga penerima ialah Penghulu Tiong Chong Onn yang meluangkan masa meninjau keadaan serta kebajikan penduduk di kawasan terbabit.

Selain menyampaikan sumbangan, pasukan penganjur yang turut disertai jururawat profesional mengambil kesempatan semasa waktu rehat tengah hari untuk memberikan penerangan dan panduan kepada ahli keluarga mengenai kaedah penjagaan pesakit terlantar dengan lebih berkesan.

Menurut Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling yang mengetuai misi tersebut, program berkenaan berjaya dilaksanakan hasil komitmen tinggi ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat.

“Usaha membantu golongan yang memerlukan adalah tanggungjawab bersama.

“Kami berharap lebih ramai pihak, termasuk rakan strategik, sukarelawan dan masyarakat umum, tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan kebajikan golongan kurang bernasib baik terus terbela,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat agar tidak memandang ringan peranan kesukarelawanan kerana setiap bentuk sumbangan mampu memberi impak besar kepada mereka yang memerlukan.

“Menjadi sukarelawan tidak semestinya memerlukan sumbangan kewangan atau barangan yang besar.

“Masa, tenaga dan keikhlasan yang dicurahkan juga amat bernilai serta mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan insan yang memerlukan bantuan,” tambahnya.

Misi kebajikan tersebut memperlihatkan semangat prihatin dan kerjasama komuniti dalam membantu golongan memerlukan, sekali gus menjadi contoh bagaimana usaha kecil yang dilakukan secara bersama mampu membawa manfaat besar kepada masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman