Media perlu pertahan kebenaran, perkukuh naratif Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr Sim Kui Hian berucap pada majlis Malam Media Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sebuah hotel terkemuka, di Kuching hari ini.

KUCHING, 19 November: Pengamal media perlu terus berpegang kepada kebenaran dan berani mempertahankannya dalam menghadapi lambakan berita palsu serta maklumat mengelirukan, khususnya menerusi media sosial.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata perkembangan teknologi telefon pintar membolehkan hampir semua orang menjadi penyampai maklumat, manakala kemunculan kecerdasan buatan (AI) turut membawa cabaran baharu kepada dunia media.

“AI boleh membawa manfaat jika digunakan dengan betul, tetapi boleh mendatangkan kesan buruk jika disalahgunakan. Kini, kita berdepan banyak berita palsu dan maklumat mengelirukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Media Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengamal media profesional mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan masyarakat menerima maklumat yang benar dan tepat.

“Dalam era pembinaan Sarawak, kita perlu terus menyampaikan kebenaran, berani mempertahankannya dan melaksanakan tanggungjawab itu demi Sarawak,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mengubah budaya yang gemar memburukkan orang lain dan sebaliknya membina naratif positif serta menyemai rasa bangga sebagai anak Sarawak.

Dr Sim turut berkongsi pengalaman bertemu seorang pelajar perempuan kaum Bidayuh yang baru memasuki Tingkatan 1 bersama dua adiknya di Batu Kawa yang mampu bertutur dalam bahasa Mandarin serta menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris, sekali gus mencerminkan keunikan masyarakat Sarawak.

Beliau turut berkongsi kejayaan bekas ahli farmasi klinikal yang pernah dibimbingnya di Kuching, apabila projek pengubahsuaian unit farmasi bernilai RM440,000 yang diusahakan individu berkenaan di sebuah hospital di Terengganu diluluskan.

Katanya, kejayaan itu membuktikan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk masyarakat, sekali gus menjadi antara perkara yang memberikan kepuasan dalam usaha membangunkan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengamal media supaya tidak mengabaikan kesihatan sendiri dan mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan yang disediakan.

Dr Sim berharap media terus memainkan peranan dalam pembinaan Sarawak dengan menyampaikan maklumat yang benar, menyebarkan nilai positif serta memperkukuh perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud