SIBURAN, 19 November: Penyatuan masyarakat Dayak dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) jelas dapat dilihat menerusi kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mewakili kawasan majoriti Dayak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, tanggapan bahawa masyarakat Dayak tidak bersatu perlu dinilai berdasarkan perkembangan politik di peringkat negeri, apabila semua kerusi majoriti Dayak kini berada dalam GPS.
“Orang kata Dayak tidak bersatu, tetapi kalau kita kira dari segi kerusi-kerusi kawasan negeri, semua Dayak masuk dalam GPS dan tiada di luar. Ertinya, kita sudah bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, di sini, hari ini.
Menurut Uggah, penyatuan itu turut diperkukuh melalui penubuhan GPS pada 2018 yang menghimpunkan empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Katanya, GPS ditubuhkan selepas perubahan landskap politik negara pada 2018 dengan membawa pendekatan baharu bagi memastikan Sarawak mempunyai hala tuju pembangunan sendiri serta terus memperjuangkan hak negeri.
Beliau berkata, gabungan itu bukan sahaja menjadi wadah politik anak Sarawak, malah berperanan membawa kepentingan rakyat negeri ini melalui rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebagai contoh, beliau menyentuh pengambilalihan Bintulu Port oleh kerajaan Sarawak serta peningkatan pemberian khas kepada negeri itu daripada RM300 juta kepada RM600 juta sebelum diumumkan sebanyak RM1.5 bilion di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Uggah turut menegaskan bahawa penyatuan politik perlu disertai dasar pembangunan yang merangkumi semua kaum, selaras dengan tiga tonggak Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Beliau memberikan contoh penubuhan agensi pembangunan wilayah, termasuk Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), yang membolehkan pemimpin tempatan merancang projek berdasarkan keperluan kawasan masing-masing.
Bagi kawasan Tarat, sebanyak 19 projek di bawah GKCDA melibatkan peruntukan RM181.75 juta.
Katanya, pendekatan pembangunan itu bukan hanya memberi manfaat kepada satu kaum, sebaliknya merangkumi masyarakat pelbagai latar belakang.
Beliau turut menyentuh pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak yang meliputi 64 bidang pengajian serta bantuan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai antara contoh dasar keterangkuman kerajaan negeri.
Menurutnya, sebanyak 119 projek UNIFOR di kawasan Tarat melibatkan peruntukan RM16.28 juta, manakala 89 projek sekolah mubaligh menerima peruntukan RM10.05 juta.
Uggah berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan GPS untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada GPS pada pilihan raya akan datang bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan agenda pembangunan Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi





