Karim mahu tamatkan karier politik di Asajaya, akur keputusan parti

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada golongan asnaf di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, hari ini.

ASAJAYA, 19 November: Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyatakan hasrat untuk mengakhiri karier politiknya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, kawasan yang menjadi titik permulaan perjalanan politiknya sejak 25 tahun lalu.

Bagaimanapun, penyandang kerusi DUN Asajaya itu menegaskan beliau akur dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan parti berhubung kedudukannya sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Beliau berkata, dirinya bersedia memberi laluan kepada calon baharu yang lebih muda sekiranya itu keputusan parti, namun tidak keberatan untuk terus berkhidmat sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

“Kalau ada calon baharu atau lebih muda untuk menggantikan saya, saya rela. Sekiranya parti merasakan perlu mengekalkan saya, saya juga sanggup untuk terus berkhidmat di kawasan DUN Asajaya.

“Di sinilah permulaannya saya berpolitik dan saya rasa kalau saya hendak menghabiskan kerjaya politik saya, biarlah di tempat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada golongan asnaf di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Karim berkata, sekiranya parti mempunyai perancangan untuk meletakkannya di kawasan lain, beliau tetap menghormati keputusan berkenaan.

Namun, beliau secara peribadi lebih cenderung untuk terus bersama masyarakat Asajaya yang disifatkannya sebagai sebahagian besar daripada perjalanan politiknya.

“Tapi kalau dapat kita macam kita berkahwin, disuruh talak, disuruh bercerai, rasa-rasanya saya lebih suka bersama-sama dengan rakyat Asajaya,” katanya.

Karim sudah berkhidmat selama lima penggal atau 25 tahun di DUN Asajaya, sekali gus menjadikan kawasan itu tempat beliau memulakan dan berharap dapat mengakhiri perjalanan politiknya.

Karim mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2001 atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dengan memperoleh 5,068 undi. 

Beliau berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRN 2006 dengan 6,949 undi, PRN 2011 (7,597 undi), PRN 2016 (6,163 undi) dan PRN 2021 (6,380 undi), sekali gus mencatatkan lima kemenangan berturut-turut di kawasan berkenaan. 

Dalam pentadbiran kerajaan Sarawak selepas PRN 2021, Karim diberikan tanggungjawab menerajui portfolio Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan.

Beliau turut memegang peranan penting dalam PBB dan dilantik sebagai Ketua Penerangan parti pada Mei 2025. 

Oleh Shahrul Qaizat