SIBU, 19 November: Seorang pekerja kebun sayur warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Sibu hari ini atas pertuduhan alternatif menyebabkan kematian tanpa niat membunuh rakan sekerja di pondok kebun di Jalan Rantau Panjang, tahun lepas.
Tertuduh, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Indonesia di hadapan hakim Alvin Leong Yin Yuan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Januari 2027 sebagai tarikh bagi menjatuhkan hukuman, mahkamah juga membenarkan pihak tertuduh memfailkan hujahan jawapan selewat-lewatnya pada 3 Disember 2026.
Ini berikutan peguam yang dilantik bagi mewakili tertuduh, Ranbir Singh memohon kepada mahkamah agar satu tarikh lain diberikan dalam tempoh seminggu untuk membolehkan beliau memfailkan hujahan jawapan terhadap hujahan pihak pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan alternatif, tertuduh didakwa menyababkan kematian tanpa niat membunuh rakan sekerjanya, dengan niat untuk menyebabkan kecederaan badan yang berkemungkinan menyebabkan kematian pada 22 Jun 2025, lebih kurang 7.00 malam di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto dalam hujahan bagi memberatkan hukuman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang bersifat pencegahan terhadap tertuduh iaitu dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun, berkuat kuasa mulai tarikh ditangkap pada 23 Jun 2025.
Tertuduh katanya, telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif menyebabkan kematian tanpa niat membunuh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
“Pada peringkat awal, pihak pendakwaan secara terbuka mengakui bahawa pengakuan bersalah tertuduh merupakan faktor mitigasi yang relevan kerana ia telah menjimatkan masa dan kos kehakiman yang berharga serta mengelakkan keperluan untuk menjalani perbicaraan penuh yang dipertikaikan.
“Pihak pendakwaan turut mengakui bahawa pertuduhan alternatif tersebut mengambil kira pembelaan separa iaitu provokasi berat dan mengejut di bawah Pengecualian 1 kepada Seksyen 300 Kanun Keseksaan, seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 8 Pernyataan Fakta Yang Dipersetujui di bawah.
“Pihak pendakwaan tidak berniat untuk memperkecilkan kepentingan undang-undang pembelaan separa tersebut mahupun pengakuan bersalah tertuduh,” ujarnya.
Mark berkata, kedua-dua faktor itu tidak menghapuskan keseriusan perbuatan jenayah berkenaan atau keperluan menjatuhkan hukuman yang sewajarnya mencerminkan tahap kesalahan tertuduh.
“Dengan mengambil kira kepentingan awam sebagai pertimbangan utama, hasrat jelas Parlimen, kekejaman melampau dalam serangan tersebut, keadaan mangsa yang tidak berdaya serta tindakan tertuduh yang dilakukan secara sengaja selepas kejadian jenayah itu, pihak pendakwaan dengan hormatnya berhujah bahawa hukuman penjara yang berat dan bersifat pencegahan dalam lingkungan penanda aras rayuan yang telah ditetapkan, iaitu antara 15 hingga 20 tahun, adalah wajar dan setimpal,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh mangsa pada 22 Jun 2025, kira-kira 7.00 malam di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang.
Seksyen 302 ini membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Oleh Akun Giman





