PETRA JAYA, 17 November: Kegagalan mematuhi keputusan Tribunal yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengundang tindakan undang-undang apabila seorang tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas gagal menjelaskan denda RM5,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Kuching, semalam.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, tertuduh telah mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 117(1), Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret 1 dan Mahkamah Majistret 3, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh, dengan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, kegagalan tertuduh menjelaskan denda yang dikenakan menyebabkan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan.
KPDN Sarawak menegaskan bahawa kegagalan mematuhi keputusan Tribunal yang dikeluarkan oleh TTPM bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana setiap keputusan Tribunal perlu dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, KPDN Sarawak akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi, selain memastikan setiap keputusan Tribunal dihormati serta dipatuhi oleh pihak yang terlibat.
KPDN Sarawak turut mengingatkan bahawa pematuhan terhadap undang-undang bukan satu pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap pihak.
Oleh Adi Safarman




