KUCHING, 19 November: PAS Sarawak menerima ketetapan kepimpinan PAS Pusat berhubung pendirian parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dalam suasana politik yang disifatkan semakin dinamik.
Pesuruhjayanya, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, PAS Sarawak komited untuk terus memperkukuhkan agenda perpaduan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Menurutnya, parti itu juga akan meneruskan gerak kerja serta khidmat kepada rakyat, khususnya di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan sebelum ini.
“PAS Sarawak menerima ketetapan yang telah diputuskan oleh kepimpinan PAS Pusat dengan penuh tanggungjawab dalam suasana politik serba dinamik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan penyokong PAS Sarawak atas komitmen serta sokongan yang diberikan setakat ini.
Katanya, sokongan berkenaan menjadi motivasi kepada parti untuk terus berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat.
PAS bertanding lima kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bermula pada 2001 hingga 2021. Parti itu belum pernah memenangi sebarang kerusi DUN Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat





