Serangan media sosial saat akhir diragui, mungkin bermotif politik – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada golongan asnaf di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, di Asajaya, hari ini.

ASAJAYA, 19 November: Serangan bertubi-tubi menerusi media sosial terhadap beberapa wakil rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dilihat berkemungkinan mempunyai motif politik.

Ketua Penerangan PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemunculan dakwaan dan kritikan terhadap wakil rakyat hanya beberapa minggu sebelum penamaan calon menimbulkan persoalan mengenai kesahihan serta tujuan sebenar pihak yang menyebarkannya.

Menurutnya, sekiranya benar terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat terhadap prestasi seseorang wakil rakyat, perkara itu sepatutnya dibangkitkan lebih awal dan bukannya hanya menjelang pilihan raya.

“Kalau orang dalam kawasan tidak berpuas hati dengan tanggungjawab seorang wakil rakyat, perkara itu sepatutnya dibawa tiga atau empat tahun dahulu supaya pucuk pimpinan dapat menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada golongan asnaf di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Karim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dakwaan berkenaan disebarkan oleh pihak lawan yang mahu mencabar kedudukan wakil rakyat sedia ada pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, katanya, kepimpinan parti tidak akan menerima bulat-bulat dakwaan yang tular di media sosial, sebaliknya mempunyai mekanisme penilaian tersendiri berdasarkan prestasi wakil rakyat.

“Kita juga membuat tinjauan sendiri mengenai prestasi seseorang wakil rakyat. Kalau kita merasakan dia bagus, telah menguruskan peruntukan yang diberikan dengan baik dan kita yakin dia boleh menang, kita akan letakkan,” katanya.

Beliau menyifatkan penggunaan media sosial untuk menyebarkan dakwaan tidak berasas sebagai pendekatan baharu yang menggantikan kaedah surat layang sebelum ini.

Katanya, kesahihan identiti individu yang menyebarkan sesuatu dakwaan juga sukar dipastikan, termasuk kemungkinan ia datang daripada pihak luar.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan yang muncul pada saat-saat akhir menjelang penamaan calon perlu dinilai secara berhati-hati dan tidak sewajarnya terus dipercayai.

Oleh Shahrul Qaizat