Karim puji PAS tarik diri, elak perpecahan ummah

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada golongan asnaf di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, hari ini.

ASAJAYA , 19 November: Keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disambut baik Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkannya sebagai semangat setiakawan dalam hubungan politik.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputer Bersatu (PBB) itu berkata, keputusan itu wajar dihargai sekiranya dibuat atas pertimbangan untuk memelihara perpaduan umat Islam, khususnya di kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini menjadi sasaran PAS untuk ditandingi.

Katanya, PAS sebelum ini dilaporkan merancang untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Samariang, Sebuyau dan Beting Maro.

“Sama ada apa yang saya lihat itu betul atau tidak, tetapi sekiranya betul, ini adalah satu tindakan yang wajar.

“Kalau betul-betul sebuah parti yang berusaha untuk menyatukan ummah, orang Islam, kalau tindakan yang dibuat itu menjurus kepada perkara itu, alhamdulillah.

“Kita amat berbesar hati, terima kasih kepada PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada golongan asnaf di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Terdahulu, PAS mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak ke-13 menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hari ini. 

Dalam pada itu, Karim turut menyambut baik pendirian Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN Sarawak, selaras dengan persefahaman politik antara UMNO dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurutnya, hubungan politik tidak seharusnya bersifat sementara dengan sesebuah parti menjadi rakan ketika diperlukan, tetapi bertukar menjadi lawan pada musim pilihan raya sebelum kembali bekerjasama selepas itu.

“Kita tidak dapat hari ini berkawan, esok tidak berkawan. Apabila tiba masa pilihan raya di sini, datang ke sini untuk tidak berkawan, berlawan. Selepas itu, ajak kita tubuh kerajaan bersama di pusat.

“Sekejap kawan, sekejap berlawan. Tidaklah boleh buat macam itu,” katanya.

Mengulas kemungkinan PAS tidak mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi di Sarawak berdasarkan pencapaian pilihan raya terdahulu, beliau berkata kehadiran parti dari Semenanjung tetap boleh memberi kesan kepada hubungan masyarakat setempat.

Katanya, kempen pilihan raya yang disertai budaya saling mengkritik dan menyebarkan fitnah berpotensi mencetuskan perpecahan serta menyebabkan penduduk kampung bermasam muka dalam tempoh panjang.

“Selepas pilihan raya, pemimpin-pemimpin daripada Semenanjung akan balik. Yang akan tinggal bersama kita ialah saudara kita sendiri.

“Kalau sudah bergaduh ekoran daripada dua minggu kempen itu, ia akan berpanjangan. Orang yang membuat fitnah dan melaga-lagakan kita sudah tidak ada, tetapi kita yang akan terus tinggal bersama,” katanya.

Beliau berkata, perkara sedemikian perlu dielakkan bagi memastikan hubungan masyarakat setempat terus terpelihara meskipun berbeza pendirian politik.

Oleh Shahrul Qaizat