Uggah sifatkan Buku Biru PBDS mengelirukan masyarakat Dayak

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengulas kandungan Buku Biru PBDS yang didakwa mengelirukan masyarakat Dayak berhubung isu pemilikan dan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

SIBURAN, 19 November: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan Buku Biru yang dikemukakan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebagai mengelirukan masyarakat Dayak berhubung isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sambil menegaskan bahawa pengurusan tanah di Sarawak tertakluk kepada peruntukan Kanun Tanah Sarawak.

Jelasnya, cadangan yang dikemukakan dalam dokumen berkenaan seolah-olah menggambarkan pendekatan yang dibawa lebih baik berbanding usaha kerajaan negeri, sedangkan proses pengukuran dan pengiktirafan tanah NCR perlu dilaksanakan mengikut kerangka undang-undang sedia ada.

“Saya ada membaca Buku Biru itu semalam. Pada pandangan saya, kandungannya tidak wajar dijadikan panduan kerana mengelirukan kaum Dayak dengan menggambarkan seolah-olah pendekatan yang dibawa lebih baik daripada pendekatan kerajaan GPS.”

“Di Sarawak, urusan tanah adalah di bawah Kanun Tanah Sarawak. Semua undang-undang berkaitan tanah terkandung dalam kanun itu. Tidak boleh sekadar membuat janji bahawa semua tanah akan diukur dalam tempoh lima tahun tanpa mengambil kira keluasan Sarawak,” katanya.

SUASANA Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, yang turut dihadiri ketua-ketua kaum, penghulu dan temenggong dari kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, di sini, hari ini.

Uggah turut mempersoalkan cadangan untuk menyelesaikan pengukuran tanah NCR di seluruh Sarawak dalam tempoh lima tahun, dengan mengambil kira keluasan wilayah itu yang mencecah kira-kira 122,000 kilometer persegi serta anggaran keluasan tanah NCR sekurang-kurangnya 2.5 juta hektar.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sebelum ini mengambil langkah meminda Kanun Tanah Sarawak bagi memberikan pengiktirafan undang-undang terhadap hak masyarakat pribumi, khususnya berkaitan Pemakai Menua dan Pulau Galau.

Katanya, proses pindaan itu melibatkan perbincangan bersama sekumpulan peguam Dayak sebelum cadangan dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sehingga membawa kepada pewujudan Seksyen 6A pada 2018.

“Tujuannya supaya Pemakai Menua dan Pulau Galau dapat diiktiraf sebagai Native Territorial Domain (NTD), sekali gus membolehkan komuniti berkenaan memperoleh hak milik komunal berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.

Uggah turut memberikan contoh di Niah, Miri, yang menurutnya melibatkan lebih 300 hektar tanah dengan hak milik dikeluarkan di bawah Seksyen 6A.

Beliau menegaskan dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap isu tanah NCR selepas pindaan Kanun Tanah Sarawak adalah tidak tepat, memandangkan proses pengukuran dan pewartaan terus dilaksanakan di seluruh negeri.

Menurutnya, sebanyak 1.248 juta hektar tanah NCR di Sarawak telah diukur di bawah Seksyen 6, manakala di kawasan Tarat, kira-kira 18,000 hektar telah dikenal pasti, dengan 13,000 hektar diukur dan 9,500 hektar diwartakan melibatkan 23 kawasan kampung.

Beliau berkata, kerajaan turut menambah lebih 400 kakitangan Jabatan Tanah dan Survei bagi memperkukuh kapasiti jabatan itu dalam mempercepat proses pengukuran tanah NCR.

Uggah berkata, proses pengukuran di bawah Seksyen 6 merupakan langkah mengenal pasti dan mewartakan kawasan tanah adat secara komunal sebelum pengukuran lot individu serta pengeluaran hak milik dilaksanakan di bawah Seksyen 18.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan berkaitan tanah NCR yang disebarkan menerusi media sosial, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada sumber dan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau menegaskan kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha memastikan hak pemilik tanah adat diiktiraf dan dilindungi melalui proses yang ditetapkan undang-undang.

Untuk rekod, Buku Biru berkenaan dikemukakan oleh parti pimpinan Presidennya, Dr John Brian Anthony, yang antara lain mencadangkan peruntukan RM150 juta setahun bagi pengukuran dan pendaftaran tanah NCR di bawah Seksyen 18 dalam tempoh lima tahun.

Dokumen itu turut menggariskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Premier Sarawak kepada dua penggal, mengehadkan jumlah portfolio kementerian yang boleh disandang Premier serta melantik individu daripada masyarakat Dayak sebagai Pengarah Tanah dan Survei Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi