PBDS tidak bawa pembangunan, apa tujuan rakyat sokong – Roland Sagah

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, hari ini.

SIBURAN, 19 November: Rakyat perlu menilai kemampuan dan tujuan sesebuah parti politik bertanding dalam pilihan raya, khususnya sama ada parti itu berhasrat membentuk kerajaan serta membawa pembangunan kepada rakyat, bukannya sekadar meletakkan calon sebagai pembangkang.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendirian Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dilaporkan tidak berhasrat membentuk kerajaan atau membawa pembangunan kepada rakyat adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Beliau juga penyandang kerusi DUN N.20 Tarat berkata, rakyat perlu memahami bahawa kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar untuk memperoleh kerusi, sebaliknya membolehkan wakil rakyat memainkan peranan dalam pentadbiran dan memastikan pembangunan dapat disalurkan kepada kawasan masing-masing.

“Tidak masuk akal. Kalau mahu mewakili rakyat, tetapi tidak mahu membawa pembangunan?

“Rakyat patut mendengar dan menilai perkara ini dengan betul. Kalau tidak membawa pembangunan kepada rakyat, buat apa hendak menyokong mereka? Rakyat yang rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, di sini, hari ini.

Mengulas persaingan politik di kawasan majoriti Dayak, Roland menasihatkan masyarakat khususnya Bidayuh supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen PBDS, sebaliknya mempertimbangkan kepentingan politik dan pembangunan jangka panjang komuniti berkenaan.

Katanya, masyarakat Bidayuh perlu mempertahankan lapan kerusi yang dimenangi GPS kerana kekalahan kesemua kerusi itu boleh menjejaskan kekuatan suara serta perwakilan mereka dalam kerajaan.

“Kita hanya ada lapan kerusi. Kalau kita kalah semua, siapa akan membela kita nanti? PBDS tidak dapat membela,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan PBDS untuk membentuk kerajaan sekiranya parti itu hanya menyasarkan untuk bertanding di sekitar 30 kerusi, sedangkan sekurang-kurangnya 43 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.

Menurutnya, sebarang hasrat untuk membentuk kerajaan juga memerlukan kerjasama politik dengan parti lain, namun beliau tidak melihat kemungkinan GPS menjalin kerjasama sedemikian dengan PBDS.

ROLAND Sagah Wee Inn bersama penduduk setempat pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gayu, yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam pada itu, Roland menegaskan kesetiaannya kepada parti serta perjuangan GPS dalam memastikan kestabilan politik dan pentadbiran Sarawak.

Katanya, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg penting kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak memerlukan pemimpin yang memahami keadaan sebenar rakyat, bukannya pemimpin yang hanya mementingkan kekayaan peribadi.

Menyentuh dakwaan berkaitan pemberian lesen kuari di kawasan Teng Bukap yang tular menerusi TikTok, Roland menafikan kewujudan lesen berkenaan dan berkata beliau telah mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Katanya, dakwaan bahawa lesen kuari telah dikeluarkan merupakan satu fitnah terhadap jabatan berkenaan kerana Jabatan Tanah dan Survei merupakan pihak berkuasa pelesenan berkaitan perkara itu.

Beliau berkata jabatan berkenaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar, termasuk memfailkan saman terhadap individu terbabit.

Roland turut menyerahkan kepada penyokongnya untuk mempertimbangkan tindakan membuat laporan polis, manakala pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh membantu mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan kandungan berkenaan.

Sementara itu, beliau menegaskan GPS bukan sekadar menyasarkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sebaliknya mesti berusaha memenangi kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan.

Roland mempunyai rekod politik yang panjang di kawasan Tarat apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam enam PRN berturut-turut sejak 1996. 

Beliau memulakan khidmat sebagai wakil rakyat Tarat menerusi kemenangan tanpa bertanding pada PRN 1996 sebelum terus mengekalkan kerusi itu dalam PRN 2001, 2006, 2011 dan 2016.

Pada PRN Sarawak 2021, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi DUN N.20 Tarat sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memperoleh 6,500 undi dan majoriti 5,008 undi, sekali gus meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi