Sarawak perkukuh sektor MICE, sasar jadi destinasi persidangan antarabangsa

Facebook
WhatsApp
RASMI...Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memukul gong sebanyak tiga kali simbolik merasmikan Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang 1 (KCEC ONE) di Miri hari ini.

MIRI, 19 November: Sarawak berpotensi menjadi destinasi utama bagi penganjuran persidangan dan acara antarabangsa menerusi pengukuhan sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keindahan alam semula jadi dan keunikan ekosistem negeri ini mampu menarik pelancong serta peserta persidangan dari dalam dan luar negara.

“Kita mahu memperkukuh dan mempromosikan sektor ini.

“Sarawak mempunyai keindahan alam semula jadi serta ekosistem yang unik dan berbeza berbanding destinasi lain. Mereka yang datang menghadiri forum, perbincangan dan persidangan turut memerlukan suasana alam semula jadi sebagai pelengkap kepada pengalaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang 1 (KCEC ONE) serta Taman Tema Air Borneo Adventure di Kenyalang Smart City, di sini, hari ini.

INI DIA…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemani tetamu kehormat yang lain melihat lakaran Taman Tema Air Borneo Adventure di Kenyalang Smart City, di Miri hari ini.

Abang Johari berkata, perancangan bandar pada masa hadapan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan yang harmoni dengan alam semula jadi.

Menurutnya, kelebihan alam semula jadi itu menjadi daya tarikan kepada pengunjung, dengan semakin banyak persidangan kini dianjurkan di Sarawak.

Beliau berkata, jaringan penerbangan yang masih terhad dan kebergantungan kepada syarikat penerbangan lain merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, AirBorneo, bagi memperkukuh jaringan penerbangan negeri.

“Dengan adanya jaringan penerbangan yang lebih baik, kita berharap dapat membawa lebih ramai pelancong ke Sarawak sama ada untuk tujuan percutian, perbincangan mahupun menghadiri persidangan,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling