LOS ANGELES, 19 November: Kapal angkasa Voyager 1 milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mencatat sejarah apabila mencapai jarak kira-kira 26 bilion kilometer dari Bumi pada Rabu, sekali gus menjadi objek buatan manusia pertama yang mengembara sejauh itu di angkasa lepas, lapor Xinhua.
Menurut pengiraan NASA yang disiarkan menerusi laman sesawang rasmi misi Voyager, pencapaian itu berlaku pada 5.16.07 pagi Rabu waktu Timur Amerika Syarikat (AS).
Jarak berkenaan bersamaan kira-kira satu hari cahaya, iaitu jarak yang boleh dilalui cahaya dalam tempoh 24 jam. Ini bermakna isyarat radio dari Bumi mengambil masa kira-kira sehari untuk sampai ke Voyager 1.

Dilancarkan pada 1977 untuk meneroka planet Musytari dan Zuhal, Voyager 1 telah mengembara di angkasa lepas selama hampir 50 tahun.
Kapal angkasa kembarnya, Voyager 2 pula mengikuti laluan berbeza merentasi sistem suria untuk meneroka Uranus dan Neptun.
NASA memaklumkan bahawa Voyager 2 dijangka mencapai jarak yang sama dari Bumi pada November 2035.
NASA turut memaklumkan bahawa Voyager 1 kini bergerak ke arah sebuah bintang yang terletak lebih 17 tahun cahaya dari Bumi, dikenali sebagai AC+79 3888 atau Gliese 445.- Bernama-Xinhua




