BAU 19 November: Seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau diingatkan supaya meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 dan Monsun Timur Laut (MTL), khususnya dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Ketua Polis Daerah Bau, SUPT Mohd Haide A. Rahman berkata, persediaan menghadapi pilihan raya perlu diberikan perhatian dari aspek perancangan, penyelarasan tugas, keperluan logistik dan kesiapsiagaan anggota bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Bau bagi November 2026 di perkarangan IPD Bau, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh pegawai dan anggota supaya bersiap siaga menghadapi MTL, termasuk kemungkinan berlakunya bencana banjir.
Menurutnya, kesiapsiagaan aset, kelengkapan dan keanggotaan serta kerjasama dengan agensi berkaitan perlu diberikan perhatian bagi memastikan tindakan segera dan berkesan dapat dilaksanakan sekiranya berlaku kecemasan.
Mengulas aspek keselamatan anggota, Mohd Haide turut menegaskan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan diri ketika menjalankan tugas, susulan insiden serangan terhadap anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD Gombak.
Beliau mengingatkan setiap pegawai dan anggota supaya sentiasa berwaspada, peka terhadap persekitaran serta melakukan penilaian risiko sebelum mengambil sebarang tindakan.
Katanya, penggunaan senjata api termasuk tindakan melepaskan tembakan hendaklah sentiasa berpandukan peruntukan undang-undang dan SOP yang ditetapkan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai kanan, anggota dan pegawai awam IPD Bau sebagai pengiktirafan terhadap prestasi serta komitmen cemerlang dalam perkhidmatan.
Turut menerima surat penghargaan ialah Rasaki Yasim yang bakal menamatkan perkhidmatan selepas mencapai umur persaraan wajib pada 22 November ini.
Mohd Haide merakamkan penghargaan atas segala jasa, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di IPD Bau.




