LAWAS, 19 November: Kestabilan politik dan keharmonian di Sarawak menarik minat bilionair Jepun, Masayoshi Son, untuk membawa masuk pelaburan bernilai AS$1 bilion ke negeri ini susulan lawatan kerja Premier Sarawak ke Jepun baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan yang dianggarkan bernilai RM4.07 bilion itu merupakan hasil pertemuannya dengan pihak SoftBank Group pada bagi membincangkan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Sarawak, khususnya untuk pengeluaran cip bagi menyokong teknologi data pintar.
Malah, loji infrastruktur berkenaan akan dibangunkan di Samajaya dan dijangka mula beroperasi pada 2028.
“Cip yang digunakan mengaplikasikan teknologi berkualiti tinggi bagi menghasilkan data pintar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Bandar Lawas malam tadi.
Selain itu, beberapa syarikat gergasi dari China turut melabur di Sarawak dalam pembangunan cip berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab digital di rantau Asia.
Abang Johari menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian kaum perlu terus diperkukuh dalam kalangan rakyat Sarawak bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata, kestabilan politik di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur untuk terus melabur dan menjalin kerjasama dengan Sarawak.
Sementara itu, Jambatan Bandar Lawas sepanjang 642 meter yang dibina dengan kos RM149.86 juta telah siap sepenuhnya pada 15 Oktober 2026.
Jambatan berkenaan menghubungkan Jalan Pulau Salam dengan beberapa kawasan penempatan di seberang Sungai Lawas, iaitu Kampung Seberang Kedai, Kampung Ladang Baru, Kampung Kerangan dan Kampung Lukutan.
Kemudahan itu bukan sahaja melancarkan pergerakan harian penduduk, malah memperkukuh jaringan perhubungan melalui Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) ke Merapok dan seterusnya ke sempadan Sabah.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pengiktirafan terhadap dua projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), iaitu Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan Jambatan Bandar Lawas, menerusi Buku Rekod Malaysia (MBOR) serta Anugerah Kecemerlangan Hijau dan Geopark.(GAGA) 2026.
Projek NCH menerima pengiktirafan daripada MBOR dalam kategori Model Infrastruktur Awam Cetakan 3D Terbesar, manakala Jambatan Bandar Lawas diiktiraf dalam kategori Struktur Kabel Hiasan Terpanjang yang Dipasang pada Jambatan Jenis Julur Seimbangdi Malaysia.
Oleh Adeng Edrus




