BAU, 18 November: Polis Bau mengeluarkan sebanyak 25 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam satu operasi penguatkuasaan motosikal yang dijalankan di hadapan sebuah sekolah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide A Rahman berkata operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang itu melibatkan seorang pegawai kanan polis bersama empat anggota.
Beliau berkata operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemeriksaan motosikal serta penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya pengubahsuaian motosikal yang melanggar spesifikasi ditetapkan.
Sebanyak 30 motosikal dan 32 individu diperiksa, manakala 25 saman polis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang dikesan ialah sembilan kes pengubahsuaian ekzos, enam kes pengubahsuaian struktur atau peralatan motosikal tanpa kebenaran, empat kes motosikal tidak mempunyai cermin sisi dan tiga kes tidak mempamerkan pelekat percubaan (P).

Polis turut mengesan dua kes nombor pendaftaran yang tidak mematuhi peraturan serta satu kes motosikal tidak mempunyai brek belakang.
Dua motosikal turut disita bagi tujuan siasatan dan dokumentasi lanjut.
Haide mengingatkan penunggang motosikal, khususnya golongan pelajar dan belia, supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan jalan raya.
Beliau menasihatkan penunggang supaya memastikan motosikal sentiasa berada dalam keadaan baik, dilengkapi sistem brek yang berfungsi dengan sempurna, cermin sisi serta nombor pendaftaran yang mematuhi peraturan.
Penunggang juga diingatkan supaya mengelakkan pengubahsuaian ekzos dan struktur motosikal yang melanggar undang-undang.
Ibu bapa dan penjaga turut diseru memainkan peranan aktif dalam memantau keadaan motosikal serta tingkah laku anak-anak ketika berada di jalan raya.
Beliau menegaskan bahawa motosikal bukan untuk menunjuk kehebatan atau menguji keberanian kerana kesilapan kecil boleh membawa akibat yang serius.
Katanya, operasi penguatkuasaan bukan bertujuan menyusahkan pengguna jalan raya, sebaliknya untuk mendidik, meningkatkan kesedaran dan mencegah kemalangan.
BSPTD IPD Bau akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya.
Oleh Connie Chieng




