MUKAH, 18 November: Jabatan Penerangan daerah kecil Balingian bersama rakan strategik memainkan peranan yang penting dalam memasarkan maklumat kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, maklumat yang disampaikan kepada masyarakat boleh dikumpul untuk dijadikan sebagai maklum balas berkenaan sesuatu permasalahaan atau isu yang dihadapi.
Pegawai Penerangan daerah kecil Balingian, Matsukarmi Suani berkata, program Randau Aspirasi Bersama Komuniti Balingian yang diadakan merupakan platform penting untuk menyampaikan maklumat rasmi kerajaan kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Randau Aspirasi Bersama Komuniti Balingian, bertempat di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Matsukarmi turut mengisi program tersebut dengan sesi taklimat khas yang menyentuh intipati Belanjawan 2027 serta panduan penting menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 kepada komuniti Balingian yang hadir.
Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2027, Matsukarmi memaklumkan bahawa peruntukan untuk negeri Sarawak menunjukkan peningkatan kepada RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun sebelumnya.
“Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai kluster penting termasuk pembangunan infrastruktur, penyelesaian perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selain itu, biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut membuka peluang kepada 4200 anak Sabah dan Sarawak melanjutkan pengajian ke universiti setiap tahun,” katanya lagi
Di samping itu, beliau turut menggesa pengundi agar menyemak saluran dan tempat mengundi lebih awal.
“Pastikan MyKad berada dalam keadaan baik, serta keluar mengundi awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Oleh Adibfahmy




