Lelaki 27 tahun ditahan, peralatan pembinaan bernilai RM10,000 lesap di Kabong

Facebook
WhatsApp
LELAKI tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit kes pecah masuk dan mencuri pelbagai peralatan pembinaan milik sebuah syarikat di Kabong yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM10,000. Foto IPD Saratok

KABONG, 18 November: Tindakan licik seorang buruh tempatan yang menjadikan rumah pekerja binaan sebagai ‘stor peribadi’ untuk mencuri pelbagai peralatan pembinaan di Kabong akhirnya memakan diri apabila beliau berjaya ditahan pihak polis di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji di tepi pekarangan Balai Polis Saratok, pagi tadi.

Menurut beliau, kes berkenaan mula dilaporkan selepas pengadu, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pengurus tapak, menyedari kehilangan beberapa peralatan dari rumah pekerja di Lot Baru, Kabong pada 15 November lalu.

“Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk dua unit generator, sebuah motosikal Honda Wave, satu unit pemecah konkrit jenama Bosch, sebuah gerudi, 16 kotak SPC, tiga beg simen plaster, 19 batang paip sinki, empat tong cat putih, 29 keping zink spandek serta 10 batang besi saluran bersaiz 2×4.

“Jumlah kerugian akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil soal siasat lanjut, suspek dipercayai mengaku melakukan kegiatan pecah masuk ke rumah pekerja warga Indonesia yang turut dijadikan tempat penyimpanan peralatan pembinaan milik sebuah syarikat.

Suspek dipercayai bertindak merosakkan mangga pintu sebelum memasuki premis berkenaan melalui pintu utama.

Siasatan mendapati suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sebanyak tiga kali, iaitu pada 12, 14 dan 15 November lalu.

Pada 12 November, suspek didakwa mengambil empat batang paip bersaiz empat inci dengan panjang 6.1 meter sebelum membawanya ke kediamannya di Sungai Benang, Kabong menggunakan motosikal.

Dua hari kemudian, suspek dipercayai kembali ke lokasi sama dan mengambil sembilan keping zink spandek serta dua guni simen plaster.

Pada 15 November pula, suspek dipercayai mengambil 20 keping zink spandek dengan mengangkutnya secara berperingkat sebanyak dua kali ke rumahnya.

Suspek turut memaklumkan bahawa semua barangan yang dipercayai dicuri itu masih belum sempat dijual dan kegiatan berkenaan dilakukan seorang diri.

Bagaimanapun, suspek tidak mengaku terbabit dalam kehilangan beberapa barangan lain yang turut dilaporkan oleh pengadu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Polis memaklumkan bahawa siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan serta mengenal pasti penglibatan suspek dalam kehilangan barangan lain yang dilaporkan.

Oleh Adi Safarman

Polis tahan lelaki curi pagar aluminium

KUCHING, 18 November: Polis Padawan menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian lima panel