105 murid SK Abang Leman dan SJKC Chung Hua Kabong khatam al-Quran

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Murid Tahun Enam Sesi 2026 anjuran Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, SK Abang Leman dengan kerjasama SJKC Chung Hua Kabong. Foto Pusat Khidmat DUN Kabong

KABONG, 18 November: Seramai 105 murid Tahun Enam daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Kabong berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran menerusi Majlis Khatam Al-Quran Murid Tahun Enam Sesi 2026, hari ini.

Majlis anjuran Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab SK Abang Leman dengan kerjasama SJKC Chung Hua Kabong itu turut dihadiri penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.

Daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 92 murid merupakan pelajar SK Abang Leman, manakala 13 lagi dari SJKC Chung Hua Kabong.

Jumlah penyertaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak lapan orang berbanding sesi sebelumnya, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam usaha memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan murid menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran, malah menjadi platform penting dalam membentuk generasi yang berilmu, beriman serta memiliki akhlak mulia.

Selain itu, program berkenaan turut memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat menerusi penglibatan bersama dalam aktiviti berteraskan pendidikan dan kerohanian.

Usaha sedemikian wajar diteruskan kerana penghayatan al-Quran bukan hanya terhenti selepas seseorang menyempurnakan bacaannya, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan serta nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua 105 murid yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran.

Semoga al-Quran terus menjadi cahaya, pedoman dan panduan sepanjang kehidupan serta membentuk generasi muda yang berakhlak mulia dan mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Oleh Adi Safarman