JIM Sarawak perkukuh kawalan keselamatan pintu masuk negeri

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Imigresen Negeri Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Kawalan Pintu Masuk Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 di Bangunan Sultan Iskandar. Foto JIMS

KUCHING, 18 November: Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak terus memperkukuh pengurusan kawalan keselamatan di semua pintu masuk udara, darat dan laut di negeri ini menerusi penyelarasan isu operasi serta cabaran semasa.

Usaha itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Kawalan Pintu Masuk Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung secara hibrid di Bilik Mesyuarat Gemilang, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili dan dianjurkan oleh Pejabat Imigresen Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pelbagai isu semasa, permasalahan operasi serta cabaran yang dihadapi di setiap pintu masuk di Sarawak bagi memastikan pengurusan kawalan imigresen berjalan lancar dan berkesan.

Pejabat Imigresen Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching bertindak sebagai penyelaras dalam mengumpul serta menyelaraskan perkara yang dibangkitkan untuk diteliti secara menyeluruh sebelum tindakan susulan bersesuaian dirancang.

PEGAWAI Jabatan Imigresen Sarawak dan wakil pintu masuk menghadiri mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan isu semasa, cabaran operasi serta pengurusan kawalan pintu masuk udara, darat dan laut di seluruh Sarawak. Foto JIMS

Mesyuarat itu turut disertai Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak (Kawalan), Norhafiza Junaidi; Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak (Pengurusan), Roslinda Hanim Mohd Yusoff; serta pegawai kanan yang terlibat.

Turut hadir Komander Pintu Masuk Pelabuhan Pending/Senari, Abang Mat Noor Abang Abdul Samat.

Penyelarasan berkenaan mencerminkan komitmen JIM Sarawak untuk meningkatkan keberkesanan operasi kawalan imigresen, di samping memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

JIM Sarawak turut menekankan kepentingan pengurusan imigresen yang cekap, berintegriti dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab mengawal pintu masuk negara.