SPAOH, 18 November: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila pintu Perodua Kancil miliknya terkunci secara automatik di kawasan Tebingan Spaoh petang semalam, sebelum berjaya dibuka dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh.
Menurut APM Daerah Spaoh, kejadian berlaku apabila pemilik kenderaan berkenaan keluar sebentar dari keretanya sebelum menyedari pintu terkunci secara automatik.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.32 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota Skuad Charlie ke lokasi.
Setibanya di lokasi, anggota APM menjalankan penilaian situasi sebelum menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta berkenaan.
Usaha itu berjaya apabila pintu Perodua Kancil berkenaan dapat dibuka dalam tempoh singkat tanpa menyebabkan sebarang kerosakan.
Sebelum menamatkan operasi, anggota APM turut mengingatkan pemilik kenderaan supaya sentiasa membawa kunci bersama setiap kali keluar dari kereta, walaupun hanya untuk tempoh singkat.
Langkah berkenaan penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta menghindari kesulitan kepada pemilik kenderaan.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi APM Daerah Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman




