SERIAN, 18 November: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen (3) Kuching, hari ini, selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan dadah secara berulang.
Lelaki yang berasal dari Kampung Tarat Sibala, Serian itu turut diperintahkan menjalani pengawasan selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, hukuman tersebut dijatuhkan terhadap tertuduh atas kesalahan berulang di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan, selain dikenakan Perintah Pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952 selepas selesai menjalani hukuman penjara,” menurut kenyataan itu.
Kes berkenaan dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dibaca bersama Seksyen 39C(1) akta sama berhubung kesalahan berulang.
Sementara itu, IPD Serian menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terus terbabit dalam penyalahgunaan dadah, khususnya pesalah berulang.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Serian akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap pengedar dan pengguna dadah bagi membendung kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Menurut kenyataan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap pesalah berulang menerusi pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan mereka menerima hukuman setimpal.
Oleh Adi Safarman




