KUCHING, 18 November: Kesihatan golongan remaja perlu diberi perhatian kerana generasi muda yang sihat, berpengetahuan dan bertanggungjawab merupakan asas penting kepada pembangunan serta kemajuan masa depan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Wilfred Yap berkata, kesihatan remaja bukan sahaja melibatkan kesejahteraan fizikal, malah merangkumi aspek mental dan emosi yang penting dalam membentuk generasi berkualiti.
Menurutnya, remaja perlu mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang, senaman secara berkala dan tidur yang mencukupi, selain tidak takut mendapatkan bantuan daripada ibu bapa, guru atau individu dipercayai apabila berdepan tekanan emosi dan masalah peribadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Kesihatan Remaja 2026 Muda Sihat Selamat (MuSSe) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Patinggi Haji Abdul Gapor (DPHA Gapor), di sini, hari ini.
Yap yang juga Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kota Sentosa turut mengingatkan golongan muda supaya menjauhi penyalahgunaan dadah, merokok, penggunaan rokok elektronik (vape) dan tingkah laku berisiko yang boleh menjejaskan kesihatan serta masa depan mereka.
Beliau turut menggalakkan remaja memanfaatkan program pendidikan kesihatan, membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat dan memilih rakan yang membawa pengaruh positif.
Menurutnya, pembangunan Sarawak bukan sahaja bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur, tetapi turut memerlukan modal insan yang sihat, berkemahiran, berdisiplin dan berdaya saing.
“Remaja hari ini bakal menjadi pemimpin, tenaga kerja berkemahiran dan penggerak kemajuan Sarawak pada masa hadapan. Untuk mencapai aspirasi pembangunan Sarawak, kita memerlukan generasi yang sihat, berpengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, Yap menegaskan komitmen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kota Sentosa untuk terus menyokong pelaksanaan MuSSe, termasuk menyediakan bantuan kewangan bagi keperluan logistik, makanan, hadiah dan bengkel untuk 70 pelajar Tingkatan Tiga yang menyertai program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Klinik Kesihatan Kota Sentosa, pasukan perubatan, fasilitator, guru-guru dan pihak SMK DPHA Gapor atas kerjasama menjayakan program tersebut.
Beliau berharap MuSSe dapat diteruskan sebagai program tahunan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di seluruh kawasan DUN Sentosa.
“Belia sihat hari ini, Sarawak lebih kuat esok. Kemajuan Sarawak bermula dengan generasi yang sihat!” katanya.
Oleh Connie Chieng





