Status peletakan jawatan, calon MB Negeri Sembilan tunggu pengumuman istana – Ahmad Zahid

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-62 di Pusat Persidangan Desaru Coast. Foto Bernama

KOTA TINGGI, 18 November: Segala keputusan dan pengumuman rasmi berhubung status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim serta calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Istana Negeri Sembilan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala butiran lanjut berhubung perkara itu perlu menunggu pengumuman rasmi daripada pihak istana.

“Hasilnya biarlah diumumkan oleh istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail Lasim. Jadi, saya merasakan bahawa ada sesuatu yang telah diputuskan bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Datuk Ismail (dalam sesi menghadap semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Pusat Persidangan Desaru Coast di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya telah mengutus warkah kepada pihak istana, namun belum menerima sebarang titah untuk menghadap.

“Warkah telah diutus. Jadi, setakat ini saya belum (menerima) titah untuk menghadap dan kami menaruh kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembahkan maklum balas berhubung warkah berkenaan. Satu sahaja (nama calon), tetapi biarlah istana yang mengumumkannya,” katanya.

Pada Isnin lepas, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar merupakan urusan rasmi pentadbiran negeri dan tidak sewajarnya dicampuradukkan dengan hal peribadi atau keluarga.

Semalam, Istana Negeri Sembilan memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Tuanku Muhriz juga dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail semalam susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu. Sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. – Bernama