KUCHING, 18 November: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi membanteras jenayah dalam talian serta penyalahgunaan platform media sosial.
Usaha itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi MCMC yang diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Dato’ Mohd Shafie Harun, kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama kedua-dua agensi sepanjang pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, khususnya dalam pemantauan, pengesanan dan penyiasatan penyalahgunaan media sosial serta penyebaran maklumat palsu.

Perbincangan turut menyentuh isu penyebaran kandungan yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Kerjasama itu merangkumi penyelarasan tindakan penguatkuasaan, perkongsian maklumat serta kepakaran teknikal bagi memastikan isu dan kesalahan membabitkan penggunaan platform komunikasi serta media sosial dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Saifullizan berkata pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua agensi untuk bertukar-tukar pandangan serta membincangkan pendekatan terbaik bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Beliau berkata kerjasama lebih erat dan penyelarasan kukuh antara PDRM dengan MCMC amat penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Delegasi MCMC turut disertai Ketua Bahagian Perancangan dan Operasi Penguatkuasaan Muhammad Iqbal Ilhwandi Mat Zin; Ketua Unit PDRM Secondment ENFS Supt Mohd Faizal Zainal; serta Pengarah II Wilayah Penguatkuasaan Sarawak Rodney Scott Dreman Stephen.
Turut hadir Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak SAC Zulkipli Suhaili, Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Mahbub Mustofa Norsalim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Kumarasan Muniandy dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak ACP Maria Rasid.
Oleh Connie Chieng



