Status Lawas sebagai bahagian akan dikaji – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap mengenai cadangan menaik taraf Lawas menjadi bahagian yang akan diteliti kerajaan Sarawak, termasuk mengambil kira kedudukan dan fungsi Bahagian Limbang. Foto Ukas

LAWAS, 18 November: Cadangan menaik taraf status Lawas daripada daerah kepada bahagian akan dikaji oleh kerajaan Sarawak, termasuk meneliti fungsi dan kedudukan Bahagian Limbang bagi memastikan perubahan itu mempunyai justifikasi pentadbiran yang jelas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh supaya sebarang perubahan tidak menjejaskan kepentingan Limbang, sebaliknya memberi manfaat kepada pembangunan wilayah utara Sarawak secara keseluruhan.

Beliau berkata, kajian itu akan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak dengan mengambil kira keperluan pentadbiran serta potensi pembangunan kedua-dua kawasan berkenaan.

“Kita akan pertimbangkan cadangan Lawas menjadi bahagian. Kita akan kaji dahulu, termasuk fungsi Limbang.

“Jika kita membuat perubahan begitu sahaja, penduduk Limbang mungkin berkecil hati dan mempersoalkan mengapa Lawas diberikan status bahagian. Namun, jika terdapat justifikasi yang jelas dan perubahan itu dapat mewujudkan pentadbiran lebih bersepadu, kita boleh mempertimbangkannya.

“Saya serahkan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk membuat kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Lawas di sini, hari ini.

Untuk rekod, Lawas kini merupakan sebuah daerah di bawah pentadbiran Bahagian Limbang dengan keluasan kira-kira 3,034 kilometer persegi.

Dari segi sejarah, Lawas diiktiraf sebagai daerah pada 1905 sebelum dimasukkan ke dalam Bahagian Limbang. Pusat pentadbirannya kemudian dipindahkan dari Trusan ke Lawas.

Berdasarkan anggaran penduduk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025, daerah Lawas mempunyai kira-kira 38,400 penduduk.

Kedudukan Lawas di utara Sarawak, antara Daerah Temburong di Brunei dan Sabah, turut menjadikannya kawasan strategik dari sudut hubungan rentas sempadan serta pembangunan ekonomi.

Menurut Abang Johari, sebarang pertimbangan berkaitan perubahan status pentadbiran itu perlu dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang, khususnya bagi memperkukuh kedudukan Lawas dan Limbang sebagai entiti ekonomi serta pusat penyampaian perkhidmatan di utara Sarawak.

Beliau turut berkata, kerajaan mempunyai perancangan pembangunan jangka panjang bagi Lawas sehingga 2050, selaras dengan potensi strategik kawasan itu yang berhadapan dengan Teluk Brunei serta peluang untuk berkembang dalam sektor ekonomi dan pelancongan.

Dalam pada itu, pembangunan kedua-dua kawasan berkenaan turut diselaraskan menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), yang ditubuhkan pada 2018 bagi mempercepat pembangunan ekonomi wilayah utara Sarawak, meliputi Limbang dan Lawas.

Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan tambahan RM1.5 bilion kepada NRDA bagi menyokong pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Antara pembangunan yang dirancang termasuk pembinaan jalan raya empat lorong yang menghubungkan Limbang dengan Lawas, lapangan terbang serta kemudahan pelabuhan bagi meningkatkan jaringan pengangkutan dan merancakkan kegiatan ekonomi.

Abang Johari berharap usaha pembangunan yang dirancang dapat memperkukuh hubungan ekonomi antara Lawas, Limbang, Brunei dan Miri, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk di wilayah utara Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi