LAWAS, 17 November: Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan terus memacu pembangunan negeri menerusi penggunaan dana yang diusahakan sendiri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah itu diambil berikutan kesukaran mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri ini.

Malah, keadaan itu mendorong Abang Johari untuk meneroka pelbagai inisiatif bagi menjana pendapatan tambahan yang dapat memberikan pulangan kewangan kepada kerajaan Sarawak.
“Pada hari ini, kita tidak boleh terlalu bergantung harap kepada Kerajaan Persekutuan. Memang ada projek yang diluluskan, tetapi peruntukan kewangan tidak disalurkan sehingga projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan.
“Saya bercakap berdasarkan keadaan sebenar. Berapa kali Dato Sri Julaihi dan Jaffry telah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Persekutuan? Ada projek yang telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia ke-11 dan Rancangan Malaysia ke-12, tetapi masih belum dilaksanakan kerana tiada peruntukan kewangan.
“Bayangkan, sedangkan bekalan air merupakan keperluan kritikal. Disebabkan itu, Premier Sarawak seperti yang disebut oleh Julai tadi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.48 bilion daripada kerajaan negeri dan jumlah itu akan ditambah kepada RM8.1 bilion.
“Syukur alhamdulillah, Premier Sarawak daripada kerajaan GPS berjaya mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan, Lawas, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Haji Julaihi Narawi.




