Bola keranjang satukan tiga generasi, erat hubungan kekeluargaan 

Facebook
WhatsApp
DATO' Sri Huang Tiong Sii berucap di majlis makan malam sempena Pertandingan Bola Keranjang Sarikei. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 18 November: Gelanggang bola keranjang bukan sekadar medan memburu kemenangan, malah mampu menjadi tempat menyatukan tiga generasi dalam sesebuah keluarga melalui semangat kesukanan, kerjasama dan sokongan antara satu sama lain.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penglibatan golongan warga emas, dewasa dan muda dalam pertandingan yang sama membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu merapatkan jurang usia serta memperkukuh hubungan kekeluargaan.

Katanya, keistimewaan pertandingan bola keranjang tersebut terletak pada peluang yang diberikan kepada peserta daripada pelbagai peringkat umur untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan saling memberikan sokongan.

“Ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi juga peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan antara generasi dan interaksi dalam keluarga.

“Masa yang diluangkan bersama di gelanggang serta sokongan antara satu sama lain lebih bermakna daripada sebarang piala,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

DATO‘ Sri Huang Tiong Sii menandatangani bola keranjang sebagai tanda simbolik bermulanya Pertandingan Bola Keranjang Sarikei. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Pertandingan Bola Keranjang Sarikei, baru-baru ini.

Katanya, penyertaan tiga generasi dalam aktiviti sukan memberikan dimensi berbeza kepada penganjuran pertandingan kerana kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan perlawanan.

Sebaliknya, beliau melihat peluang meluangkan masa bersama ahli keluarga sebagai antara manfaat utama yang dapat diperoleh menerusi penyertaan dalam kegiatan sedemikian.

“Penglibatan golongan berusia bersama generasi muda turut menyediakan ruang untuk membina persefahaman, selain menggalakkan interaksi yang lebih erat dalam suasana santai.

“Aktiviti sukan juga berupaya memupuk semangat kerjasama dan saling menghormati dalam kalangan peserta tanpa mengira perbezaan umur,” katanya.

Dalam pada itu, Huang memaklumkan bahawa usaha memperkukuh pembangunan sukan telah diberikan perhatian sejak beberapa tahun lalu, termasuk melalui pembinaan gelanggang bola keranjang.

Katanya, penyediaan kemudahan tersebut bertujuan memberikan ruang yang lebih selesa dan selamat kepada masyarakat untuk menjalankan aktiviti sukan serta mengembangkan minat dalam bidang tersebut.

Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan dan penyediaan kemudahan berkualiti untuk rakyat di kawasan bandar serta luar bandar.

Beliau berharap usaha memperluas kemudahan sukan dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam menggalakkan penyertaan golongan muda dan mengeratkan hubungan antara generasi.

Huang turut menghargai sumbangan jurulatih, pegawai teknikal, penganjur dan petugas yang memainkan peranan penting dalam memastikan pertandingan berjalan lancar.

Beliau berharap penganjuran pertandingan seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh semangat kekeluargaan dan hubungan masyarakat melalui aktiviti sukan.

Oleh Earl Anek