Menyamar pelanggan, lelaki larikan beg pinggang warga emas, rugi RM11,000

Facebook
WhatsApp
KEADAAN kedai runcit di Jalan Mahkamah, tempat beg pinggang milik seorang wanita warga emas yang mengandungi wang tunai dan barang kemas dipercayai dicuri, menyebabkan kerugian kira-kira RM11,000. Foto IPD Meradong

BINTANGOR, 18 November: Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun kerugian kira-kira RM11,000 selepas beg pinggang miliknya yang mengandungi wang tunai, barang kemas dan dokumen peribadi dipercayai dicuri seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan di sebuah kedai runcit di Jalan Mahkamah, di sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong DSP Tansli Mering berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 5.00 petang semalam.

Katanya, suspek dipercayai mengambil kesempatan ketika mangsa sedang melayan permintaannya untuk mendapatkan barangan di kedai runcit tersbut.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali datang ke kedai berkenaan dengan berpura-pura ingin membeli barangan.

“Ketika mangsa sedang melayan lelaki tersebut, mangsa telah meletakkan beg pinggang berwarna coklat tua di atas meja dan pergi mengambil barangan yang diminta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tansli berkata, suspek kemudian dipercayai mengambil beg pinggang yang ditinggalkan di atas meja sebelum menyembunyikannya di dalam baju dan melarikan diri dari kedai runcit tersebut.

Beliau berkata, suspek kemudian dipercayai mengambil beg pinggang itu mengandungi wang tunai kira-kira RM6,000, lima bentuk cincin emas, seutas rantai emas, dua utas gelang emas serta beberapa dokumen dan barangan peribadi milik mangsa.

“Jumlah keseluruhan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan RM11,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedai runcit itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), dan setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.

“Identiti suspek masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan suspek serta mendapatkan maklumat dan rakaman CCTV daripada premis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Sylvia Rantai menerusi talian 019-8692973 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.

Beliau turut menasihatkan masyarakat, khususnya pemilik premis perniagaan dan pelanggan, supaya sentiasa berwaspada terhadap individu yang mencurigakan.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak meninggalkan wang tunai, barang kemas atau barangan berharga tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian kecurian berlaku.