BEKR sehingga RM70,000 bukan gula-gula PRN13, dasar kerajaan Sarawak sejak 2020

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa mengadakan lawatan susulan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Anyie, Matop, Paku petang tadi. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 17 November: Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) sehingga RM70,000 bagi setiap keluarga yang kehilangan kediaman akibat kebakaran bukanlah bantuan bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13), sebaliknya merupakan dasar sedia ada kerajaan Sarawak sejak 2020.

Penegasan itu disuarakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan lawatan susulan kepada keluarga mangsa kebakaran Rumah Panjang Anyie, Matop, Paku di sini petang tadi.

“Ini bukan bantuan bermotifkan politik menjelang PRN13. Bantuan ini memang merupakan dasar kerajaan Sarawak sejak 2020 lagi.

“Setiap keluarga yang kehilangan kediaman akibat kebakaran layak menerima bantuan ini bagi membantu mereka membina semula rumah,” katanya.

Menerusi BEKR, kerajaan negeri menyediakan bantuan sehingga RM70,000 bagi setiap pintu atau unit kediaman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan pihak berkenaan.

Bantuan itu diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersama Pejabat Daerah bagi memastikan keluarga yang terjejas menerima bantuan sewajarnya.

Uggah yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Saban berkata beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu komited membantu semua keluarga terjejas membina semula kediaman serta memulakan kehidupan baharu.

Beliau turut melahirkan rasa sedih atas tragedi yang memusnahkan rumah panjang berusia 83 tahun itu, yang dibina menggunakan kayu belian dan menyimpan nilai sejarah serta warisan nenek moyang penduduk.

Menurutnya, semangat keprihatinan dan budaya saling membantu merupakan tradisi masyarakat Sarawak yang perlu terus dipertahankan, terutama ketika berdepan musibah.

“Sudah menjadi tradisi masyarakat Sarawak yang prihatin untuk membantu mereka yang sedang menghadapi kesusahan.

“Kita perlu bersama-sama menghulurkan bantuan dan memastikan keluarga yang terjejas tidak menghadapi kesukaran ini bersendirian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban menyalurkan sumbangan RM3,000 kepada setiap keluarga, manakala Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.204 Betong menyumbang RM1,000 kepada setiap keluarga.

Kedua-dua sumbangan itu berjumlah RM112,000 dan telah dikreditkan ke akaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Matop hari ini untuk disalurkan kepada keluarga mangsa.

Kebakaran pada Sabtu lalu memusnahkan keseluruhan rumah panjang berusia 83 tahun itu, menyebabkan 28 keluarga membabitkan 66 penghuni kehilangan tempat tinggal serta harta benda.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengorbankan sebarang nyawa.

Oleh Adi Safarman