DARO, 17 November: Sebanyak 17 organisasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM884,000 bagi melaksanakan projek menaik taraf dan membaik pulih kemudahan awam di kampung serta rumah panjang masing-masing.
Penyandang ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol, berkata peruntukan itu melibatkan 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Antara JKKK yang menerima peruntukan berkenaan ialah Kampung Bruit, Tekajong, Penipah, Salah Kecil, Penibong, Penuai, Semop, Saai, Sedi, Sebako, Serdeng, Rumah Panjang Lingga, Tanjung Bundung, Abang Ali dan Abang Amin.
Dua PIBG yang turut menerima peruntukan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Selidap dan SK Salah Kecil.
Dana berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan projek berskala kecil, termasuk menaik taraf dan membaik pulih tempat letak kereta, pusat komuniti, titian kayu, padang futsal serta jalan dalam kampung.
Menurut Abdullah, semua permohonan berkenaan telah diterima dan diluluskan sebelum pembubaran DUN, manakala majlis penyerahan yang diadakan hanya bertujuan menyampaikan surat pemakluman bahawa peruntukan telah dimasukkan ke dalam akaun setiap organisasi penerima.
Beliau turut menasihati semua penerima supaya menggunakan dana berkenaan secara berhemah serta memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Abdullah turut menyampaikan bantuan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM170,000 kepada 11 penerima di Kampung Semop atas jemputan Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah.
Penerima bantuan itu terdiri daripada enam sekolah, dua Tabika, dua JKKK dan sebuah surau.
Beliau turut mengadakan lawatan kerja ke kawasan Rumah Panjang Sungai Sian, Bintangor, bagi menyaksikan penyerahan tapak projek pembinaan bumbung padang futsal yang melibatkan kos RM350,000.
Mengulas mengenai usaha menangani isu kemudahan awam dan keperluan penduduk di kawasan DUN Semop, Abdullah berkata komunikasi secara langsung menerusi kumpulan WhatsApp membantu mempercepat penyampaian aduan dan maklumat kepadanya.
Menurutnya, lebih 15 kumpulan WhatsApp telah diwujudkan bagi menghubungkan beliau dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk ketua komuniti, tuai rumah, golongan belia, wanita, jawatankuasa masjid dan surau serta PIBG.
“Saya mudah dihubungi pada bila-bila masa dan sentiasa menerima panggilan serta mesej secara langsung daripada penduduk yang ingin mengemukakan aduan atau permohonan bantuan, termasuk berkaitan rawatan perubatan, kes kecemasan dan pelbagai perkara lain,” katanya.



