Ketua Polis Kuching tekankan disiplin, integriti dan persediaan hadapi pilihan raya

Facebook
WhatsApp
ALEXSON Naga Chabu ketika menghadiri perhimpunan bulanan IPD Kuching.

KUCHING, 17 November: Disiplin, integriti dan profesionalisme merupakan asas penting dalam mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu.

Beliau menegaskan bahawa disiplin merupakan tunjang kekuatan sesebuah organisasi dan mengingatkan semua anggota supaya sentiasa menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui tingkah laku profesional serta komitmen terhadap tugas.

Alexson berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan November 2026 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching (IPD Kuching) yang berlangsung di Dataran Kawad IPD Kuching, hari ini.

Beliau menyeru pegawai dan anggota supaya mengamalkan budaya kerja berteraskan risikan atau Intelligence-Led Policing (ILP), melaksanakan tugas dengan sepenuh hati serta belajar daripada kesilapan orang lain tanpa perlu menunggu sehingga melakukan kesilapan sendiri.

Beliau turut menekankan kepentingan memperbetulkan amalan sedia ada dan membudayakan perkara yang betul, selain memupuk sikap saling menghormati, khususnya terhadap pegawai kanan.

Dalam pada itu, warga kerja diingatkan supaya mengekalkan keharmonian di tempat kerja serta memberi perhatian kepada kesejahteraan kesihatan mental masing-masing.

Persediaan menghadapi pilihan raya akan datang turut menjadi antara perkara yang ditekankan apabila beliau menggesa semua anggota supaya sentiasa bersedia dan komited terhadap tanggungjawab masing-masing.

Perhimpunan itu turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan oleh Alexson kepada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam atas prestasi kerja cemerlang mereka.

Penghargaan turut diberikan kepada anggota yang bertukar tempat bertugas sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada IPD Kuching.

Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Sang Saka Biru, diikuti bacaan doa.

Alexson diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Ak Lisa.

Oleh Connie Chieng