Enam sekolah menengah di Kuching sertai kempen kesihatan mental

Facebook
WhatsApp
INFOGRAFIK Kempen Kesedaran Kesihatan Mental Pelajar Sekolah Menengah anjuran Persatuan Komuniti Dinamik Malaysia yang mengetengahkan panduan pengurusan stres dan pengawalan emosi dalam kalangan remaja.

KUCHING, 17 November: Enam sekolah menengah kebangsaan di Kuching menyertai Kempen Kesedaran Kesihatan Mental Pelajar Sekolah Menengah anjuran Persatuan Komuniti Dinamik Malaysia sepanjang November ini bagi meningkatkan kesedaran serta membantu pelajar menangani tekanan emosi.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Arang.

Kempen itu menampilkan Pakar Psikiatri, Dr Henry Luk dan Kaunselor Berdaftar Malaysia, Jesynthia Wong Anak Robert, yang memberikan pendedahan mengenai kesihatan mental serta kemahiran praktikal kepada pelajar.

PAUL Fong, Pengerusi Persatuan Komuniti Dinamik Malaysia.

Menurut kenyataan media persatuan itu, kempen berkenaan dianjurkan susulan kebimbangan terhadap pelbagai isu emosi dan tingkah laku dalam kalangan remaja, termasuk buli, keganasan serta insiden yang berlaku di persekitaran sekolah.

Antara pengisian program ialah pengurusan stres, pengawalan emosi dan teknik pengurusan diri bagi membantu pelajar mengenal pasti serta menangani tekanan dalam kehidupan seharian.

Pelajar turut didedahkan kepada teknik pernafasan kotak, kaedah mengenal pasti corak pemikiran negatif dan imbasan badan bagi mengurangkan ketegangan fizikal serta emosi.

Selain itu, penekanan diberikan kepada pengurusan stres peperiksaan melalui amalan tidur mencukupi, pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan perancangan pembelajaran secara berperingkat.

Program itu turut membimbing pelajar membina pelan tindakan peribadi, mengenal pasti individu dewasa yang boleh dipercayai serta mendapatkan sokongan apabila berdepan masalah emosi.

Persatuan itu memaklumkan kempen berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan kesihatan mental, mengurangkan stigma terhadap kemurungan, pemikiran bunuh diri dan tekanan emosi, selain memperlengkapkan remaja dengan kemahiran menangani cabaran emosi.

Inisiatif itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah, profesional kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membangunkan program kesedaran kesihatan mental berasaskan sekolah yang mampan di Sarawak.

Sebagai langkah susulan, persatuan berkenaan merancang memperluaskan kempen itu pada awal tahun depan ke sekolah menengah kebangsaan di kawasan Kuching, Padawan dan Samarahan bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapat manfaat.

Program itu turut mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Persatuan berkenaan turut menyeru pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat supaya bersama-sama memberi perhatian terhadap kesihatan mental remaja, termasuk menggalakkan pengesanan awal dan mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.