KUCHING, 17 November: Sebanyak 157 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dalam Ops Patuh yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit FALCON JPJ Kuching di sepanjang Jalan Kuching-Serian serta sekitar bandar raya ini.
Operasi yang dijalankan menerusi rondaan dan pemantauan itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang serta memastikan kenderaan memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan, termasuk tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, melanggar syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta melakukan kesalahan teknikal kenderaan.
Menurut JPJ Sarawak, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu untuk meningkatkan kesedaran dan pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan yang ditetapkan.


ANGGOTA JPJ Sarawak menjalankan pemeriksaan kenderaan dalam Ops Patuh di sekitar Kuching bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya memastikan lesen memandu sentiasa sah, memakai tali pinggang keledar serta mematuhi syarat permit yang ditetapkan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.
JPJ Sarawak turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat terhadap sebarang pelanggaran undang-undang bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Oleh Adele Rissa




