KUCHING, 17 November: Pengurusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di pejabatnya di sini.
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Arul Rajoo Durar Raj mengetuai delegasi yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Harlina Samson dan Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita, Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer.
Turut hadir ialah Pengurus Kanan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Abdul Halim Hafiz Mohamad Radzali serta Ketua Biro Bernama Sarawak, Muhammad Ammar Shafiq Hamzah.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu merupakan kunjungan pertama pengurusan Bernama ke atas Abdul Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, bagi mengukuhkan hubungan strategik serta kerjasama, khususnya dalam penyampaian maklumat sahih kepada rakyat.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaporan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 serta pembangunan sukan negeri, khususnya persiapan kerajaan negeri bagi menghadapi Sukan SEA 2027.
Delegasi Bernama turut bertukar-tukar pandangan serta menyatakan komitmen untuk membantu kerajaan Sarawak memperkasakan strategi komunikasi dan memperluas hebahan maklumat mengenai pencapaian agensi kerajaan kepada orang ramai. – Bernama




