KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukan sebanyak RM2.542 juta dana untuk penubuhan Kerusi Pehin Sri Adenan Satem yang akan berfungsi sebagai hab untuk mengumpul data mengenai warisan budaya dan khazanah daripada pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu akan menghasilkan pangkalan data berkaitan etnik Sarawak dalam bidang kebudayaan, kesenian dan warisan.
Menurutnya, universiti juga akan menerajui penyelidikan etnik di Sarawak, khususnya mengenai budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat resam, seni dan warisan tradisional.
“Saya percaya pengerusi penyelidikan ini akan berfungsi sebagai hab untuk mengumpul data mengenai warisan budaya dan khazanah daripada pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo, yang tidak akan ditinggalkan atau dilupakan.
“Saya berharap Pengerusi Pehin Sri Adenan Satem akan memacu usaha penyelidikan dan mempertahankan identiti unik dan kekayaan warisan budaya asli Borneo di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Sosial & Kemanusiaan (ICOSSH) 2021 kali kedua di Hotel Grand Margherita, semalam.
Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Universiti Putra Malaysia dengan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai Penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem.
Menceritakan detik bersama Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, Abang Johari berkata, beliau dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem berasal dari kampung yang sama yang hanya kira-kira 100 hingga 150 meter di kampung yang sama.
Katanya, Allahyarham Adenan semasa mudanya amat meminati seni, budaya dan muzik.
“Perbezaan umur antara saya dan Allahyarham Adenan saya rasa kira-kira enam hingga tujuh tahun, tetapi abang saya bersama-sama dengan Adenan membentuk satu kumpulan muzik dimana abang saya bermain gitar dan Adenan Elvis Presley Sarawak.
“Sifat Adenan yang kedua ialah dia suka buku, pergi memancing pun beliau akan membaca. Kita tidak pernah melihatnya tanpa buku, beliau mempunyai stok buku dan dia membaca dengan baik.
“Malah sebelum pergi ke Australia beliau banyak menyumbang penulisan dan ideanya. Tempat biasa beliau adalah di arkib muzium dan beliau juga menyumbang artikel kepada Sarawak Gazette dan itu adalah Adenan.
Tambahnya, Allahyarham Adenan juga gemar dengan flora dan fauna beliau sangat bersemangat mengenai Taman Negara.
“Sebut sahaja taman negara , Adenan tahu. Beliau sangat sayangkan Sarawak, sangat sayangkan orang Sarawak. Seperti yang dikatakan oleh beliau “kalau sik ada orang lain jaga Sarawak siapa lagi jaga Sarawak tok, biarlah Sarawak jaga Sarawak”.
“Sebagai penggantinya, saya akan meneruskan legasi beliau terutamanya dari segi seni dan budaya dan itulah sebabnya apabila pihak universiti mendekati saya, saya berkata okey, kerajaan Sarawak memberi RM2.5 juta untuk penyelidikan.
Katanya, beliau harap ia akan berterusan dan generasi muda tahu dari mana latar belakang dan asal usul mereka serta apa yang boleh mereka sumbangkan kepada negeri ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, Naib Canselor UPM, Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin dan Pengarah UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Shahrul Razid Sarbini.
Oleh JEAKQLEYN YACHO