Masalah liputan telekomunikasi di Lawas perlu ditangani segera – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
JALINAN KASIH... Awang Tengah menyampaikan sumbangan daripada SACOFA kepada golongan memerlukan di Lawas.

LAWAS, 17 November: Masalah liputan telekomunikasi yang masih berlaku di beberapa kawasan di Lawas perlu ditangani segera bagi memastikan kelancaran urusan harian masyarakat, perniagaan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, isu berkenaan sudah berlarutan sekian lama dan memerlukan perhatian serius serta kerjasama semua pihak berkaitan.

Menurutnya, masalah capaian internet dan rangkaian telekomunikasi bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar, malah turut dialami di beberapa lokasi dalam bandar.

Katanya, keadaan itu menyukarkan penduduk melakukan pembayaran secara elektronik (e-pembayaran), khususnya ketika berlangsungnya program atau majlis yang melibatkan kehadiran orang ramai.

Selain itu, terdapat beberapa lokasi di sepanjang jalan yang masih mengalami masalah liputan atau kawasan titik buta (blind spot), manakala capaian rangkaian di sesetengah tempat juga kurang memuaskan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya kerjasama antara Sacofa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memperkukuh liputan rangkaian di Lawas dan seluruh Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Jalinan Kasih Sacofa 2026 Lawas di Hotel Roxy Lawas, tengah hari tadi.

Beliau turut berharap semua pihak dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam merealisasikan perancangan dan melaksanakan tindakan sewajarnya bagi meningkatkan mutu perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini.

Pada majlis berkenaan, Sacofa turut menyampaikan sumbangan berupa makanan kepada warga emas, golongan asnaf, ibu tunggal serta beberapa surau terpilih.

Oleh Adeng Edrus