Lagu Tahun Baharu Cina 2027 angkat kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat Sarawak

Facebook
WhatsApp
RAKAM...Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang bersama barisan penyanyi tempatan ketika menjalani penggambaran video muzik lagu Tahun Baharu Cina 2027 di sekitar bandar raya Miri.

MIRI, 17 November: Kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak bakal diketengahkan menerusi sebuah lagu Tahun Baharu Cina 2027 hasil karya asli anak tempatan.

Lagu berkenaan menampilkan lima penyanyi tempatan, iaitu Liew Fui Ting, Lim Choon Liang, Benson Chin Chen Ching, Addy Monkey dan Chris, yang bersama-sama menjayakan karya muzik berkenaan.

Perancang projek, Liew Fui Ting berkata, lagu itu menggabungkan elemen muzik dan emosi masyarakat berbilang kaum bagi mencerminkan keunikan budaya serta keharmonian kehidupan masyarakat di negeri ini.

Beliau berkata, penghasilan lagu berkenaan turut membabitkan penyertaan individu daripada pelbagai kaum, manakala liriknya mengetengahkan makanan tradisional dan keistimewaan Sarawak.

Katanya, pendekatan itu bertujuan menggabungkan kepelbagaian budaya, kehidupan dan identiti etnik masyarakat Sarawak dalam sebuah karya muzik yang meraikan semangat kebersamaan.

Proses rakaman lagu berkenaan dijalankan di Semenanjung Malaysia pada Ogos lalu, manakala penggambaran video muzik (MV) berlangsung selama tiga hari di Miri dan selesai pada 15 November lalu.

Penggambaran tersebut dijalankan di beberapa lokasi ikonik di bandar raya ini, termasuk Telaga Minyak No. 1 di Canada Hill, Pasar Tamu Jalan 10 Krokop, Pantai Miri dan Taman Awan Miri.

Projek berkenaan turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang yang bertindak sebagai penaja serta membuat penampilan khas dalam video muzik tersebut.

Oleh Liong Chai Ling