Bruce A’phai tampil dengan Dusah Tiya Natong

Facebook
WhatsApp
VIDEO muzik Dusah Tiya Natong.

KUCHING, 17 November: Selepas empat tahun tidak menghasilkan karya baharu sejak kemunculan lagu Oni Cucah Mu, penyanyi Bruce A’phai kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Dusah Tiya Natong.

Mengulas kemunculannya semula selepas empat tahun, Bruce berkata minatnya terhadap muzik tidak pernah luntur meskipun sepanjang tempoh itu beliau turut memberikan tumpuan kepada bidang lakonan, pengarahan dan kegiatan seni yang lain.

Menurutnya, keputusan untuk kembali menghasilkan karya baharu didorong oleh keinginan untuk terus berkarya serta menyumbang kepada perkembangan industri muzik tempatan, khususnya muzik etnik Bidayuh.

“Tempoh empat tahun itu bukan bermakna saya meninggalkan dunia muzik sepenuhnya. Muzik sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya.

“Saya percaya setiap karya mempunyai masa dan prosesnya yang tersendiri. Saya lebih gemar mengambil masa untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar memuaskan hati daripada sekadar mengeluarkan lagu tanpa hala tuju,” katanya.

BRUCE A’phai ketika berada di studio.

Mengulas mengenai Dusah Tiya Natong, beliau berkata lagu itu mengetengahkan keindahan bahasa dan muzik Bidayuh menerusi pendekatan muzik yang berbeza.

Katanya, muzik etnik tidak semestinya terikat pada satu genre sahaja, sebaliknya boleh diterokai melalui pelbagai pendekatan dan susunan muzik tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Beliau turut menghargai kerjasama Veronica Nanpe dan Steve Cross dalam menghasilkan lagu berkenaan, selain merakamkan penghargaan kepada Cyril Kayam yang memperkenalkannya kepada kedua-dua penulis lagu itu.

Bruce berkata beliau mahu muzik Bidayuh mendapat tempat yang lebih luas dan dinikmati oleh masyarakat pelbagai kaum, bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau memberikan perhatian khusus kepada penghasilan MV yang menggabungkan pendekatan sinematik dengan penggunaan teknologi moden, termasuk seni visual berasaskan AI dan reka bentuk grafik gerakan.

BRUCE A’phai ketika hadir pada Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Saya mahu membuktikan bahawa muzik etnik juga boleh dipersembahkan dengan mutu penerbitan dan pendekatan visual yang lebih moden.

“Saya berharap Dusah Tiya Natong bukan sekadar menjadi sebuah lagu baharu dalam katalog muzik saya, tetapi turut menjadi usaha untuk mengangkat muzik dan identiti Bidayuh ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Berbeza daripada karya terdahulunya, lagu terbaharu itu mengetengahkan genre muzik Western/Country yang memberikan kelainan dari segi susunan dan identiti muzik.

Pembikinan video muzik (MV) lagu berkenaan turut mengaplikasikan pendekatan sinematik melalui penggunaan pelbagai jenis syot, sudut kamera dan elemen visual kreatif.

Bruce turut merakamkan penghargaan kepada Arrynando, bakat baharu dalam industri kreatif, yang bertanggungjawab menghasilkan seni visual berasaskan AI dan reka bentuk grafik gerakan bagi merealisasikan konsep visual MV Dusah Tiya Natong.