Vokal dikritik: Dayah Bakar terbuka terima teguran, bukan hinaan

Facebook
WhatsApp
DAYAH Bakar berkata kritikan membina terhadap kemampuan vokalnya menerusi single terbaharu Orang Ketiga diterima sebagai ruang untuk memperbaiki diri, namun beliau memilih untuk tidak melayan komen berunsur penghinaan di media sosial.

KUALA LUMPUR, 17 November: Pengacara dan penyanyi Dayah Bakar bersikap terbuka menerima kritikan terhadap kemampuan vokalnya menerusi single terbaharu Orang Ketiga yang dilancarkan pada 6 November lepas.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Nur Hidayah Abu Bakar, 37, enggan melayan komen berunsur penghinaan yang disifatkannya sebagai buli siber.

“Saya boleh bezakan antara komen, kritikan dan penghinaan. Kalau teguran itu untuk menambah baik vokal atau kemahiran nyanyian, saya terima. Tetapi komen negatif dan penghinaan, sejujurnya saya ketepikan kerana bagi saya tidak berbaloi untuk difikirkan,” katanya kepada Bernama selepas pertunjukan fesyen Thalia x Dayah Bakar sempena Fashionably Modest Asia (FMA) 2026 di sini, baru-baru ini.

Pada acara itu, Dayah turut mempersembahkan lagu Orang Ketiga secara langsung buat pertama kali di depan khalayak sebelum memperagakan koleksi pakaian kasual hasil kolaborasinya dengan jenama tempatan, Thalia.

Dayah berkata kebanyakan kritikan yang diterimanya dibuat berdasarkan sedutan video berdurasi kira-kira 15 saat di media sosial tanpa mendengar keseluruhan lagu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata perhatian terhadap kemampuan vokalnya itu secara tidak langsung mendorong lebih ramai pendengar mendapatkan versi penuh lagu berkenaan, termasuk menonton video muzik yang baru dilancarkan.

Pada masa sama, Dayah turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya mengecam secara beramai-ramai di media sosial apabila ada pihak mudah mengeluarkan kata-kata menghina tanpa memikirkan perasaan orang lain.

“Apabila seorang mula bercakap, orang lain pula rasa ada ruang untuk menjatuhkan dan menyerang. Itu sebenarnya buli siber. Saya tidak ambil perkara itu ke dalam hati, tetapi saya terkejut melihat bagaimana orang boleh berkata-kata tanpa menjaga adab dan akhlak,” katanya.

Dayah berkata meskipun tidak mengalami tekanan emosi yang serius akibat kecaman berkenaan, tidak semua individu mampu berdepan situasi sama dengan ada yang mungkin mengalami kemurungan.

Pada masa sama, lulusan undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini menasihati golongan muda supaya tidak terlalu memikirkan pandangan negatif terhadap mereka di media sosial, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha membaiki diri.

“Kita kena terima hakikat bahawa bukan semua orang akan suka apa yang kita lakukan. Tetapi selagi kita tidak mengganggu kehidupan orang lain, tidak berniat jahat dan melakukan sesuatu yang membahagiakan diri, insya-Allah kita akan okey,” katanya.- Bernama