PBB Balingian desak KPM segera bina SMK Balingian

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balingian Dr Abdul Yakub Arbi.

BALINGIAN, 17 November: Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balingian, Dr Abdul Yakub Arbi mendesak agar Kementerian Pendidikan (KPM) menyegerakan pelaksanaan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Balingian demi kepentingan masa depan pelajar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, penubuhan sekolah menengah tersebut merupakan satu pelaburan strategik serta kesinambungan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

“Akses kepada kemudahan pendidikan yang mencukupi adalah amat penting untuk memastikan para pelajar mempunyai peluang bagi menimba ilmu dalam persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

“Justeru, saya menggesa KPM bersama-sama agensi kerajaan berkaitan agar memberi keutamaan sewajarnya kepada projek ini dengan menyegerakan semua proses penting termasuk perancangan, kelulusan, peruntukan dana, serta pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang kelewatan yang tidak wajar harus dielakkan menerusi penyelarasan lebih erat antara pihak berkuasa agar projek berkenaan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Tambahnya lagi, penduduk Balingian berhak mendapat maklumat jelas berhubung status semasa projek, jadual pelaksanaan, serta langkah utuh bagi memastikan projek siap mengikut tarikh yang dirancang.

“Sebagai Ketua Cawangan PBB N58 Balingian, saya akan terus membawa perkara ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan demi memperjuangkan nasib dan kepentingan pendidikan anak-anak kita.

“Mereka tidak seharusnya menunggu lebih lama untuk mendapatkan akses yang lebih baik kepada kemudahan pendidikan menengah yang berkualiti,” katanya lagi.

Beliau menegaskan usaha mempercepatkan projek SMK Balingian secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan seimbang serta penyediaan peluang pendidikan yang adil untuk segenap lapisan masyarakat.

Oleh Adib Fahmy