SARIKEI, 17 November: Seni tarian singa perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan warisan kebudayaan tradisional tidak semakin dilupakan dalam arus pembangunan dan perubahan zaman.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penglibatan golongan muda amat penting bagi memastikan kesinambungan seni persembahan berkenaan terus terpelihara.
Katanya, tarian singa bukan sekadar persembahan kebudayaan, malah menjadi medium membentuk disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada setiap pasukan menunjukkan kemahiran masing-masing, malah menjadi ruang untuk bertukar pengalaman, mengeratkan persahabatan dan memupuk semangat berpasukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tarian Singa Persatuan Buddha Orthodox Sarikei di Stadium Bola Keranjang Taman Susur Jambu, baru-baru ini.
Katanya, usaha mengekalkan seni kebudayaan tradisional memerlukan sokongan berterusan supaya generasi muda mempunyai ruang dan peluang untuk mempelajari serta menguasai kemahiran yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menyokong pembangunan kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh persatuan kebudayaan dan komuniti setempat.
Antara kemudahan tersebut termasuk pembinaan gelanggang bola keranjang dan penyediaan lantai simen yang boleh digunakan sebagai tempat latihan pasukan tarian singa serta aktiviti persatuan lain.
Penyediaan ruang latihan yang bersesuaian penting bagi membolehkan peserta menjalankan latihan secara lebih teratur, di samping menyokong penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pengumuman projek pembinaan stadium tertutup baharu ketika Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei.
Katanya, kemudahan tersebut dijangka menyediakan ruang lebih sesuai untuk penganjuran pertandingan sukan, aktiviti kebudayaan dan program komuniti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kewujudan stadium tertutup itu juga bakal memberikan manfaat kepada golongan belia, atlet dan persatuan setempat yang memerlukan kemudahan bagi menjalankan aktiviti masing-masing.
“Pembangunan prasarana sedemikian dilihat dapat melengkapkan kemudahan sedia ada, selain membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat menyertai kegiatan sukan dan kebudayaan,” katanya.
Oleh Earl Anek




