MUKAH, 17 November: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan menerusi Ops Tapis di sebuah rumah di Kampung Tutus Hilir, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) merampas dadah jenis syabu seberat 0.46 gram dalam serbuan berkenaan.
“Tangkapan terhadap suspek dilakukan di sebuah bilik di rumah tidak bernombor di Kampung Tutus Hilir, Mukah, kira-kira 8.40 pagi, semalam.
“Pemeriksaan awal terhadap suspek tidak menemui sebarang barangan salah. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemukan satu paket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu,” katanya.

Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamina dan metamfetamina.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati suspek yang berasal dari Sibu itu tidak bekerja dan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan dadah.
Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 20 November 2026 dan ditempatkan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Oleh Adibfahmy




